KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Kumpulan UMW terus mengekalkan momentum jualan automotifnya pada bulan Julai 2022 apabila kedua-dua UMW Toyota Motor (“UMWT”) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, mencatatkan jualan yang baik. Kumpulan telah mendaftarkan jualan sebanyak 24,983 unit pada bulan Julai 2022 berbanding dengan 2,105 unit yang didaftarkan pada bulan Julai tahun 2021. Jualan pada bulan Julai 2021 terjejas oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (“PKPP”) dari 1 Jun hingga 15 Ogos 2021. Bagi tujuh bulan pertama tahun 2022, Kumpulan UMW telah merekodkan jualan sebanyak 198,237 unit, 48% lebih tinggi daripada 133,506 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.
UMWT telah mencatatkan jualan sebanyak 6,637 unit pada bulan Julai 2022 berbanding 1,450 unit setahun yang lalu. Pelaksanaan PKPP telah menjejaskan catatan jualan pada bulan Julai 2021. Bagi tujuh bulan pertama tahun 2022, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 52,548 unit, 48% lebih tinggi daripada 35,561 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2021. Untuk memperbaharui barisan modelnya, pada 24 Jun 2022, UMWT telah membuka tempahan untuk Toyota Veloz serba baharu, yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Bagi mengukuhkan lagi buku pesanannya, UMWT menawarkan promosi istimewa dengan pembelian Vios dan Yaris, sebagai sebahagian daripada kempen jualan di bulan Ogos.
Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 18,346 unit pada bulan Julai 2022, jauh lebih tinggi daripada 655 unit yang didaftarkan pada bulan Julai tahun 2021. Penurunan jualan pada bulan Julai tahun 2021 adalah disebabkan oleh PKPP. Untuk tujuh bulan pertama 2022, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 145,689 unit, 49% lebih tinggi daripada 97,945 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun 2021. Untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di dalam pasaran, Perodua melancarkan Perodua Alza serba baharu pada 20 Julai 2022. Perodua juga akan memperkenalkan Ativa Hybrid ke pasaran Malaysia tidak lama lagi, walaupun hanya melalui skim langganan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata, “Kami berpuas hati dengan catatan jualan yang baik yang didaftarkan oleh UMWT dan Perodua pada bulan Julai 2022. Kedua-dua UMWT dan Perodua itu mempunyai jumlah pesanan tertunggak yang tinggi dan akan terus meningkatkan pengeluaran bagi memastikan kami dapat memenuhi permintaan pelanggan kami. Dengan peningkatan terhadap rantaian bekalan dan cip semikonduktor, kami yakin dalam mencapai sasaran jualan tahun ini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan berterusan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami.”
–BERNAMA




