KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Momentum Commerce Sdn Bhd, pengupaya e-dagang global, telah membangunkan penyelesaian e-dagang dengan kerjasama TikTok bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta jenama tempatan meningkatkan hasil dalam persekitaran peningkatan kos perniagaan.
Momentum Commerce merupakan rakan kongsi sah TikTok Shop di Malaysia yang membantu jenama tempatan memanfaatkan pertumbuhan pengguna aplikasi itu dan kini bekerjasama dengan hampir 30 jenama antaranya Nivea, Eucerin, Wardah dan Al-Ikhsan Sports.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hans-Peter Ressel berkata pasukannya bekerjasama dengan satu daripada kumpulan kecantikan dan penjagaan kulit terbesar Indonesia, Wardah, bagi meningkatkan pengikut Tik Toknya sebanyak 36 kali dalam masa sebulan sahaja. Ia kini mempunyai lebih 60,000 pengikut.
“Pasukan pakar kami dapat menyusun strategi gabungan frekuensi strim langsung dan penghasilan video pendek yang tepat dengan pengaruh dan jenis kandungan yang paling sesuai, untuk memastikan aplikasi berfungsi pada tahap optimum untuk jenama tersebut.
“Kami melihat kadar penukaran jualan lebih daripada lima peratus (pada aplikasi) yang melebihi kadar penukaran perniagaan seperti biasa di pasaran.
“Sudah tentu dengan melaksanakan kempen besar seperti 11.11 dan 12.12, kadar penukaran ini meningkat dengan banyak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dengan pasukan seramai 70 orang, Momentum Commerce meningkatkan usaha di TikTok Shop untuk membantu banyak jenama tempatan serta PKS meningkatkan pendapatan mereka, katanya.
“Kini terdapat banyak jenama kami yang ingin mencapai hasil yang sama (mengulangi kisah kejayaan Wardah) dan kami benar-benar meningkatkan semua Kedai TikTok untuk jenama kami — dengan tumpuan yang besar pada perkhidmatan ini,” katanya.
Ressel juga menekankan bahawa mereka melihat sumbangan hasil e-dagang TikTok Shop untuk jenama melebihi 10 peratus, sambil menambah bahawa pendapatan TikTok Shop dijangka terus berkembang untuk membentuk lebih daripada 50 peratus hasil e-dagang menjelang 2023.
Berkongsi tentang bagaimana beliau memulakan Momentum Commerce, Ressel yang merupakan Bekas CEO Lazada berkata selepas meninggalkan Lazada pada 2018, beliau melihat peluang untuk jenama tempatan dan PKS berkembang lebih besar apabila e-dagang di Asia Tenggara berkembang pesat.
“Bersama Eddy Yap, pengasas bersama saya, saya melihat bahawa dalam perjalanan e-dagang sama ada anda jenama tempatan atau antarabangsa, akan sentiasa ada beberapa bidang dalam rantaian nilai e-dagang anda yang tidak begitu kukuh dan memerlukan bantuan.
“Terdapat banyak inovasi yang berlaku dalam industri dan ia bergerak begitu pantas sehinggakan anda sentiasa memerlukan untuk menjadi pengguna awal bagi inisiatif, inovasi dan alatan tertentu dan kami merasakan dengan gabungan kepakaran kami, kami boleh membantu jenama mempercepatkan kejayaan mereka dalam e-dagang di rantau ini,” katanya.
Ressel dan pasukannya mula bereksperimen dengan TikTok pada penghujung 2019, secara beransur-ansur meningkatkan tumpuannya apabila platform itu mula berkembang dan terbukti memberikan pertumbuhan dan kejayaan untuk jenama dalam masa yang sangat singkat.
“Kami telah membangunkan penyelesaian 360 darjah untuk jenama, bermula dengan perkhidmatan penstriman langsung, penciptaan kandungan dan video pendek.
“Kami mempunyai studio produksi kami sendiri untuk siaran langsung dan video pendek. Kami juga mengambil alih pengurusan ‘key opinion leaders’ (KOL) dan bakat.
“Kami melakukan semua pemasaran kandungan, kami menguruskan TikTok Shop, analisis data dan logistik untuk membawa produk terus kepada pelanggan.
“Gabungan kandungan, strim langsung dan kekerapan yang betul adalah kunci untuk menjadikan algoritma berfungsi untuk anda,” tegasnya.
— BERNAMA




