JAKARTA, 29 Julai (Bernama) — IHH Healthcare Bhd (IHH) dan PT Prodia Widyahusada Tbk (Prodia) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menyediakan pilihan perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh bagi pelanggan Prodia yang ingin mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia.
Kerjasama IHH dengan Prodia, rangkaian makmal terbesar Indonesia, dijangka mengoptimumkan pengurusan pesakit yang memerlukan perkhidmatan pemeriksaan makmal klinikal sebelum dan selepas perundingan bersama doktor.
Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, Ketua Pegawai Eksekutif IHH, Jean-François Naa berkata IHH telah mewujudkan talian penting perkhidmatan pelanggan sehenti yang menyokong perkhidmatan dalam bahasa Indonesia untuk menyediakan bantuan bagi penetapan janji temu dan pertanyaan perubatan.
Majlis pemeteraian MoU itu berlangsung di sini dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Indonesia, Dr Dante Saksono Harbuwono.
Pengarah Presiden Prodia, Dewi Muliaty berkata kerjasama ini dijangka memudahkan pesakit dari Indonesia untuk mendapatkan rujukan bagi perkhidmatan pemeriksaan makmal lanjutan seperti pemeriksaan kesihatan, pemantauan perkembangan penyakit, diagnosis serta perkhidmatan pemeriksaan lain.
“Kami yakin kerjasama ini akan memudahkan pesakit Indonesia yang menerima perkhidmatan perubatan bersepadu dengan IHH Healthcare Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan makmal klinikal yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata Prodia telah menjadi peserta utama dalam industri makmal kesihatan swasta Indonesia selama bertahun-tahun, seperti yang ditunjukkan menerusi bahagian pasarannya yang meningkat daripada 38.3 peratus pada 2018 kepada 39.5 peratus pada 2020.
Sementara itu, data daripada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) menunjukkan lebih 670,000 rakyat Indonesia telah mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia pada 2019, namun jumlah itu susut kepada hanya 635 bagi tempoh 2020 hingga 2021 susulan perintah kawalan pergerakan akibat pandemik COVID-19.
MHTC menjangkakan ketibaan pelancong perubatan Indonesia ke Malaysia kembali ke tahap sebelum pandemik pada 2025.
— BERNAMA




