KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) — OPUS Consultants Sdn Bhd, syarikat perunding kejuruteraan dan pengurusan aset terkemuka yang telah melaksanakan projek bernilai lebih RM100 bilion sejak 30 tahun lepas menerima anugerah Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) 2022 berikutan sumbangannya dalam industri kejuruteraan di negara ini.
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, pemberian anugerah berprestij bagi kategori Pengurusan Aset-Industri itu adalah berdasarkan penarafan dan penilaian yang teliti oleh IEM dari segi keupayaan syarikat, sumbangan ketara dalam pembangunan negara dan kemajuan dalam kejuruteraan selama tiga dekad.
OPUS Consultants, anak syarikat UEM Edgenta Bhd berkata, anugerah yang diterima turut disumbangkan oleh kemampuannya dalam menyiapkan projek-projek mega bernilai berbilion ringgit seperti lebuh raya dan jalan raya utama, lapangan terbang, transit bandar, alam bina dan projek infrastruktur utama lain yang telah mewujudkan perubahan kepada landskap infrastruktur di Malaysia.
“Pengiktirafan baharu ini meletakkan OPUS Consultants untuk berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding peserta pasaran dalam bidang pengurusan aset,” katanya sambil menambah bahawa kemajuan ekonomi sesebuah negara selalunya dinilai melalui pembangunan infrastruktur dalam menyumbang ke arah kebaikan rakyat serta menyediakan potensi pertumbuhan kepada pelabur asing.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin menyifatkan anugerah itu sebagai bukti dedikasi OPUS Consultants dalam menyampaikan dan menguruskan projek-projek infrastruktur mega sejak sekian lama serta komitmen syarikat tersebut untuk menerajui infrastruktur pengurusan aset dengan menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
Pengarah Urusan OPUS Consultants, Dr Tony Chan yang mewakili syarikat itu untuk menerima anugerah IEM baru-baru ini berkata syarikat tersebut berpegang teguh dengan slogannya ‘Delivering with Distinction’ dan akan terus memberikan sumbangan demi kemajuan bidang kejuruteraan sama ada di dalam negara, mahupun di peringkat antarabangsa.
OPUS Consultants, peneraju pasaran bagi syarikat rundingan kejuruteraan dan pengurusan aset menguruskan lebih 2,000 kilometer lebuh raya bertol pada masa ini di samping terbabit dengan projek-projek pembinaan dan naik taraf di Sabah dan Sarawak.
Projek infrastruktur utama syarikat itu merangkumi Lebuhraya Utara Selatan, PUTRA LRT2, sambungan LRT Laluan Kelana Jaya dan Ampang, Landasan Berkembar Elektrik KTMB (Rawang-Ipoh dan Ipoh-Padang Besar), Laluan Kedua Malaysia-Singapura dan pembangunan Cyberjaya sebagai satu daripada hab teknologi utama di negara ini.
OPUS Consultants yang berbangga dengan pendekatan yang sistematik dalam projek-projeknya menegaskan bahawa kesemua rangkaian perkhidmatan syarikat turut memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membuat keputusan yang tepat dengan menyediakan penyelesaian inovatif dan praktikal bagi projek infrastruktur dan pengangkutan berskala besar dan pada masa sama, meningkatkan aset syarikat.
Syarikat tersebut mempunyai lebih 400 profesional kejuruteraan yang disokong rangkaian lengkap kemajuan teknologi UEM Edgenta untuk disesuaikan dengan pelbagai kitar hayat aset perniagaan, merangkumi rundingan, rancangan perolehan dan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan, serta mengoptimumkan prestasi aset, mengubah suai dan menaik taraf aset.
— BERNAMA




