KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — UMW Toyota Motor Sdn Bhd dan UMW Holdings Bhd, komited dalam usaha mencapai neutral karbon menjelang 2050 menerusi aktiviti yang mengurangkan pelepasan karbon dioksida.
Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Pelanggan Diutamakan Kumpulan Faraed Mohd Sharif berkata inisiatif tersebut, terutamanya penanaman hampir 40,000 pokok setakat ini adalah sejajar dengan komitmen menanam kira-kira 300,000 pokok dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menurutnya, ini sekali gus dapat menyumbang kepada daya tahan iklim selain mengukuhkan komitmen global Toyota untuk mencapai sasaran neutral karbon dalam tempoh 28 tahun.
“Bagi kemajuan masa depan, tumpuan kami adalah bagi menyediakan ‘Mobiliti Untuk Semua’ dengan menyokong pengwujudan lebih banyak penyelesaian mobiliti lebih bebas, selamat dan mesra alam.
“Ini seiring dengan rancangan pengeluaran tempatan Toyota ke arah masyarakat yang bersih, selamat dan terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian bersempena program usaha penghijauan ‘Green Shoots Initiative (UGS)’ UMW yang selaras dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Kebangsaan 2020-2025.
Dalam usaha ke arah mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan merealisasikan matlamat sifar karbon, UMW Toyota dan UMW Holdings menyatakan bahawa 50 peratus daripada pokok yang ditanam itu adalah jenis pokok bakau.
Faraed berkata, UMW Toyota akan meneruskan penyertaan aktif menerusi aktiviti penanaman pokok lestari di dua lagi lokasi pada tahun ini.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif UGS untuk menggalakkan lebih banyak pemuliharaan dan usaha pemulihan alam sekitar dalam kalangan komuniti,” katanya.
— BERNAMA




