ALOR SETAR, 18 Julai (Bernama) — Bina Darulaman Bhd (BDB) mengumumkan pelantikan Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli sebagai pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu berkuat kuasa hari ini.
Menurut BDB dalam kenyataan hari ini, Mohd Iskandar Dzulkarnain, 38, mula menyertai BDB pada 2014 sebagai Ketua Perancangan Korporat dan Pengurusan Risiko Perusahaan Kumpulan.
Mohd Iskandar Dzulkarnain memainkan peranan utama dalam mengetuai dan menyelaras strategi perniagaan syarikat serta memantau dan menilai risiko untuk peluang perniagaan baharu terutamanya dalam pelaburan, pembangunan hartanah serta perniagaan berkaitan.
Beliau kemudiannya dilantik memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi pada 2018 dan seterusnya diberi kepercayaan untuk mengetuai semua anak syarikat BDB dari segi tadbir urus operasi serta memberikan tumpuan kepada pelaksanaan strategi pemulihan syarikat.
Seterusnya pada Oktober 2020, Mohd Iskandar Dzulkarnain telah dilantik untuk menjawat jawatan Naib Presiden Eksekutif I merangkap Ketua Pegawai Korporat.
Sebelum menyertai BDB, beliau pernah berkhidmat dengan syarikat lain termasuk Kumpulan Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd dan Sapuracrest Petroleum Bhd.
Mohd Iskandar Dzulkarnain mempunyai pengalaman merangkumi bidang pengurusan risiko strategik dalam projek seperti Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Kuantan Port Expansion dan Projek Khas Penstrukturan Semula Pengurusan Air.
— BERNAMA




