KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) — Hiap Teck Venture Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah iaitu RM32.21 juta pada suku ketiga berakhir 30 April, 2022 daripada RM65.93 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, hasil meningkat 39 peratus kepada RM456.95 juta daripada RM329.64 juta setahun lepas, terutamanya disumbangkan oleh jumlah jualan dan purata harga jualan yang lebih tinggi, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Kumpulan mencatatkan keuntungan yang lebih rendah daripada operasi sebanyak RM40.90 juta bagi suku semasa berbanding suku tahun sebelumnya berjumlah RM63.53 juta, terutamanya disebabkan oleh kos inventori yang tinggi meskipun terdapat peningkatan dalam jumlah jualan,” katanya.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia telah berhati-hati terhadap aliran menurun harga keluli dan akan terus menumpukan kepada strategi perolehan berhemat dan pengurusan inventori untuk mengurangkan sebarang potensi kesan buruk terhadap prestasi dan kekuatan kewangan.
— BERNAMA




