KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) — TDM Berhad, anak syarikat negeri Terengganu memberi tumpuan kepada tanaman kontan dalam usaha untuk mempelbagaikan aliran pendapatan syarikat.
Pengerusinya, Raja Datuk Idris Raja Kamaruddin berkata pihaknya telah memulakan projek tanaman cili dan nanas seluas dua hektar pada awal tahun ini di Kemaman dan Kuala Terengganu menggunakan kaedah pertanian pintar bagi mengurangkan kos operasi.
“Susulan isu ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, isu keselamatan makanan telah menjadi kebimbangan di peringkat global dan Malaysia.
“Bagi menyumbang kepada kecukupan makanan dalam negara, TDM Berhad akan memanfaatkan kawasan yang tiada penanaman kelapa sawit untuk mengusahakan cili dan nanas,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-57 TDM Berhad, di sini, hari ini.
Menurut Raja Idris, pihaknya juga menyasarkan untuk meluaskan tanaman cili dan nanas kepada 80 hektar dalam tempoh tiga tahun lagi untuk menampung keperluan dalam negeri.
Katanya perluasan kawasan tanaman tersebut akan memberi pendapatan tambahan kepada syarikat selain sumbangan sektor perladangan dan penjagaan kesihatan yang menjadi perniagaan teras.
“Bagi 2022, kita menjangka dapat mengeluarkan 107 tan nanas dan 40 tan cili bergred tinggi untuk pasaran tempatan.
“Bagaimanapun, sekiranya perancangan kita berjalan mengikut pelan, kita mampu mengeluarkan 4,800 tan cili dan 1,800 tan nanas setahun daripada 80 hektar kawasan tanaman,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Idris berkata bagi segmen kesihatan, TDM Berhad juga merancang untuk mengembang dan meningkatkan liputan perkhidmatan di negara ini secara ‘brownfield’ dan greenfield’.
“Syarikat baru sahaja selesai mengambil alih ‘Tawau Specialist’ yang kini dikenali sebagai KMI Tawau Medical Centre.
“Malah, kami juga berusaha ke arah menyediakan rangkaian hospital pakar dengan pembinaan hospital pakar di Kemaman, Terengganu dan di Bandar Baru Tunjong di Kota Bharu, Kelantan,” katanya.
— BERNAMA




