KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih tinggi, dipacu oleh kegiatan memburu saham berharga murah yang berterusan untuk saham wajaran tinggi terpilih selain mengambil petunjuk daripada prestasi pasaran serantau yang lebih kukuh, kata seorang peniaga.
Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.22 mata kepada 1,468.27 daripada penutupan urus niaga Rabu pada 1,459.05
Indeks utama itu memulakan dagangan pagi ini ini 10.05 mata lebih tinggi pada 1,469.10, berlegar antara 1,466.18 dan 1,476.02 di sepanjang sesi.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 457 berbalas 335, manakala 381 kaunter tidak berubah, 1,106 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.34 bilion unit bernilai RM823.57 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikan di sini, pihaknya menjangkakan terdapat kegiatan memburu saham berharga murah yang sederhana untuk tempoh terdekat.
“Namun begitu, kami masih berpendapat kekurangan pemangkin pasaran baharu dan kebimbangan terhadap tekanan inflasi yang berlarutan boleh menyebabkan persekitaran pasaran yang terus berhati-hati dari semasa ke semasa. Dan ini sudah pastinya mengehadkan sebarang peningkatan,” tambahnya.
Sementara itu, peniaga berpandangan bahawa keadaan pasaran akan menjadi lebih tenang berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menaikkan kadar faedah Amerika Syarikat sejajar dengan jangkaan pasaran.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM8.70, Public Bank menokok lima sen menjadi RM4.53, Petronas Chemicals menambah 12 sen kepada RM9.65 manakala IHH Healthcare peroleh lapan sen kepada RM6.27.
Bagi saham aktif, BCM Alliance tidak berubah pada 2.5 sen, LGMS menambah 3.5 sen kepada 80.5 sen, Yong Tai meningkat setengah sen kepada sembilan sen sementara Top Glove turun tiga sen kepada 98 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 64.51 mata menjadi 10,496.27, Indeks FBM Emas Syariah menambah 53.52 mata kepada 10,670.70 sementara FBM 70 lebih tinggi sebanyak 85.03 mata kepada 12,724.38
Indeks FBMT 100 turut meningkat 65.15 mata kepada 10,219.18 dan FBM ACE untung 9.40 mata kepada 4,898.07.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 178.33 mata kepada 16,346.40, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.91 mata kepada 189.26 tetapi Indeks Perladangan susut 23.83 mata menjadi 7,358.67.
— BERNAMA

