KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) — Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) telah mengeluarkan dasar kemampanannya, menggariskan komitmennya dalam bidang alam sekitar, sosial, tadbir urus (ESG) dan kebolehkesanan.
Pembuat sarung tangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata dasar itu dibangunkan melalui perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelabur, pertubuhan bukan kerajaan dan penganalisis selain menyelaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dasar itu akan membimbing penyumberan dan perolehan yang beretika dan bertanggungjawab untuk semua anak syarikat dan usaha sama Top Glove serta rantaian bekalan syarikat.
“Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, Top Glove menyedari bahawa perniagaan kami mempunyai kesan kepada alam sekitar, pekerja kami dan komuniti.
“Top Glove komited untuk menjadi peneraju kemampanan dalam sektor pembuatan penjagaan kesihatan dan menyumbang kepada masa depan yang lebih baik untuk semua pemegang kepentingan kami,” kata Pengarah Eksekutifnya Lim Cheong Guan.
Ia berkata tiga tema strategik digariskan dalam dasar itu iaitu “Menangani Perubahan Iklim dan Memulihkan Alam Semula Jadi”, “Menjadi Warga Korporat Berpaksikan Rakyat” dan “Mencipta Nilai Jangka Panjang Melalui Amalan Perniagaan Beretika dan Libat Urus dengan Pihak Berkepentingan Secara Berterusan”.
Selain menyokong kempen “Tiada Penebangan Hutan” dan “Perlindungan terhadap Tanah Gambut”, Top Glove menghormati dan menyokong prinsip hak asasi manusia antarabangsa dan menegakkan standard etika yang tinggi, katanya.
Top Glove berkata ia komited untuk menetapkan tahun sasaran Sifar Karbon Bersih menjelang tahun kewangan 2025 dan menyasarkan untuk mencapai 70 peratus kebolehkesanan ke ladang penyumberan getah asli yang membolehkan kebolehkesanan kawasan kritikal dengan nilai pemuliharaan tahap tinggi dan stok karbon tinggi sebagai serta isu sosial dan konflik.
— BERNAMA




