KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) — Jualan berterusan membabitkan kaunter wajaran tinggi terpilih mendorong dagangan Bursa Malaysia mengakhiri urus niaga sesi pagi ini rendah di tengah-tengah prestasi bercampur-campur dalam pasaran serantau, kata para peniaga.
Pada waktu rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 21.99 mata kepada 1,459.29 daripada 1,481.28 ketika ditutup semalam (Selasa).
Indeks penanda aras itu yang dibuka 0.40 mata lebih rendah pada 1,480.88, berlegar antara 1,456.26 dan 1,480.96 di sepanjang sesi.
Di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 658 berbalas 206, manakala 302 kaunter tidak berubah, 1,113 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.30 bilion unit bernilai RM825.74 juta.
Peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata ekuiti Asia terperangkap dalam perdagangan defensif pada hari Rabu menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) lewat hari ini.
“Kenyataan FOMC boleh lebih menjuruskan kepada menaikkan kadar faedah untuk mewajarkan kenaikan 75 mata asas dan pecutan kadar kenaikan ini boleh memberi kesan kepada pasaran ekuiti global,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.61 peratus kepada 3,127.97, Nikkei 225 Jepun susut 0.89 peratus menjadi 26,393.69, Hang Seng Hong Kong menambah 1.42 peratus kepada 21,367.11, dan KOSPI Korea Selatan merosot 1.91 peratus menjadi 2,445.29.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public bank masing-masing turun empat sen kepada RM8.64 dan RM4.47, Petronas Chemicals susut 10 sen kepada RM9.56 manakala IHH Healthcare turun 13 sen menjadi RM6.17.
Bagi saham aktif, Sapura Energy kekal pada 4.5 sen, Unitrade dan LGMS susut 1.5 sen kepada 28.5 sen dan 76.5 sen sementara MNC Wireless turun setengah sen kepada 1.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 139.83 mata menjadi 10,431.74, Indeks FBM Emas Syariah turun 183.42 mata kepada 10,619.79 dan Indeks FBM 70 susut 92.02 mata kepada 12,629.52.
Dalam pada itu, FBM ACE kerugian 30.76 mata kepada 4,908.82 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 134.45 mata kepada 10,153.44.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 84.98 mata kepada 16,168.92, Indeks Perladangan susut 151.24 mata kepada 7,399.07 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 2.73 mata lebih rendah untuk mencatatkan 187.71.
— BERNAMA

