KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) — Unit milik penuh Powerwell Holdings Bhd, Powerwell International Sdn Bhd, memperoleh kontrak kedua daripada Tialoc Malaysia Sdn Bhd pada tahun ini bernilai RM94 juta.
Pengeluar alat suis elektrik itu berkata kontrak tersebut melibatkan pembekalan, pemasangan, pengujian dan pengoperasian panel voltan rendah (LV) untuk projek bangunan baharu sebuah syarikat multinasional terkemuka di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.
“Kontrak tersebut akan bermula pada Jun 2022 dan dijangka siap pada Mac 2023.
“Dengan kontrak ini, nilai perolehan kontrak Powerwell berjumlah RM201 juta,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Pengarah jualan dan pemasaran serantaunya Ir Aaron Leong berkata menurut Pusat Tenaga ASEAN, permintaan elektrik di Asia Tenggara dijangka meningkat tiga kali ganda dari 2022 hingga 2050, yang mana syarikat itu melihat peluang untuk mengembangkan perniagaannya daripada permintaan terhadap penyelesaian syarikat bagi kedua-dua penjanaan tenaga konvensional dan boleh diperbaharui di rantau ini.
“Sejak permulaan projek luar negara pertamanya pada 2000, Powerwell terus mengembangkan operasinya di pasaran antarabangsa, terutamanya di rantau Asia Tenggara.
“Ketika ini, produk kami dieksport ke pelbagai negara termasuk Indonesia, Pakistan dan Bangladesh,” katanya.
Melangkah ke masa hadapan, beliau berkata, syarikat itu akan terus aktif mengambil bahagian dalam penawaran tender selain memanfaatkan rekod prestasinya yang kukuh sejak 30 tahun lepas untuk mengukuhkan kehadiran serantaunya.
Kontrak bekalan itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan disatu dan aset bersih Powerwell bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2023.
–BERNAMA




