KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) — Seng Fong Holdings Bhd, syarikat pemprosesan getah yang mengeluarkan dan memperdagangkan Getah Standard Malaysia (SMR) serta getah blok gred premium yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 7 Julai, telah melancarkan prospektus untuk tawaran awam permulaannya (IPO).
IPO syarikat itu melibatkan terbitan 90.8 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 70.1 juta saham, menyaksikan jumlah penawaran sebanyak 160.9 juta saham pada harga IPO 75 sen sesaham.
Keseluruhan pelaksanaan IPO itu akan menjana sejumlah RM68.1 juta, dengan RM19.7 juta diperuntukkan untuk tujuan modal kerja; RM37.9 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank; RM6.3 juta untuk pemasangan sistem biojisim dan baki RM4.2 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
Sejurus selepas penyenaraian, permodalan pasaran Seng Fong akan menjadi RM389.2 juta.
“Kami berhasrat untuk menggunakan sebahagian daripada hasil untuk membiayai keperluan modal kerja bagi mengembangkan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 166,000 tan metrik menjelang 2023 daripada kapasiti semasa 142,000 tan metrik.
“Untuk meneruskan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kami juga menggunakan hasil yang diperoleh daripada IPO untuk membayar balik pinjaman bank yang telah kami gunakan untuk memasang dua sistem solar, yang akan membantu mengurangkan perbelanjaan elektrik secara keseluruhan,” kata Pengarah Urusan syarikat Er Hock Lai pada pelancaran prospektus Seng Fong secara maya hari ini.
Beliau menambah dana yang diperoleh daripada IPO juga akan dimanfaatkan untuk pemasangan dua sistem biojisim menggunakan serpihan kayu dan menggantikan diesel untuk mengurangkan kos bahan api keseluruhan untuk kilang syarikat.
Dianggarkan penggunaan sistem solar akan menghasilkan penjimatan sebanyak RM2.6 juta manakala sistem biojisim akan membantu kami menjimatkan RM3.5 juta, jelas beliau.
Di samping penjimatan kos, Er berkata penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan penggunaan elektrik dan bahan api adalah selaras dengan penekanan syarikat untuk mempunyai operasi perniagaan yang mampan dan keperluan untuk memulihara alam sekitar.
Sementara itu, beliau berkata perniagaan berorientasikan eksport itu telah membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan dan pembekal tempatan dan antarabangsanya termasuk pasaran seperti China, Taiwan dan India, yang sama ada pengeluar tayar atau peniaga getah antarabangsa.
Sebahagian besar pendapatannya diperoleh secara langsung atau tidak langsung daripada jualan kepada pembuatan tayar.
Bagi sembilan bulan berakhir 31 Mac, 2022, Seng Fong mencatatkan hasil RM662.43 juta dengan untung kasar RM61.74 juta dan untung selepas cukai RM31.32 juta.
Bagi tahun kewangan berakhir 2021, kumpulan itu menguasai bahagian pasaran eksport sebanyak 11.79 peratus berdasarkan jumlah eksportnya sebanyak 121,404 tan.
Selain penglibatannya dalam pemprosesan getah SMR dan getah blok gred premium serta perdagangan getah blok, ia juga mengendalikan makmal yang diluluskan oleh Lembaga Getah Malaysia untuk ujian, penggredan dan pensijilan getah blok yang diproses.
Hong Leong Investment Bank ialah penasihat utama syarikat, penaja jamin dan ejen penempatan untuk penyenaraian tersebut.
Tarikh tutup IPO ialah pada 24 Jun, 2022.
— BERNAMA




