KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Kerjaya Prospek Group Bhd, syarikat pembinaan, pengurusan projek dan pembangunan hartanah memeterai perjanjian rangka kerja dengan Samsung C&T (KL) Sdn Bhd untuk mendapatkan pelbagai peluang perniagaan bagi kontrak pembinaan bernilai lebih RM300 juta.
Samsung C&T adalah anak syarikat milik penuh syarikat pembinaan dan kejuruteraan Korea Selatan Samsung C&T Corporation.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek Tee Eng Tiong berkata perjanjian itu adalah bagi tempoh lima tahun dan akan diperbaharui secara automatik secara bergilir selepas tamat tempoh untuk tempoh satu tahun sehingga perjanjian itu ditamatkan oleh mana-mana pihak.
“Perkongsian ini merupakan satu pencapaian penting bagi Kerjaya Prospek kerana ia membuktikan keupayaan kukuh kami dalam menyediakan pembangunan unik dan berkualiti tinggi yang diperakui oleh konglomerat multinasional global seperti Samsung.
“Kami teruja dengan perkongsian ini kerana kami akan mendapat akses kepada kepakaran pembinaan Samsung, meningkatkan lagi daya saing kami bagi membolehkan kami kekal berada di hadapan dalam sektor pembinaan,” katanya pada majlis permeteraian perjanjian itu, di sini, hari ini.
Naib Presiden Eksekutif Samsung C&T Hyuk Shin berkata kerjasama itu akan membantu memacukan lagi pertumbuhan Samsung C&T dalam pasaran pembinaan.
“Kerjaya Prospek telah membuktikan kepakaran serta kualiti yang dimiliki mereka dalam industri pembinaan. Dengan yang terbaik daripada kedua-dua syarikat, kami percaya ia akan mewujudkan perkongsian kolaborasi dan bersinergi di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, satu kenyataan bersama oleh kedua-dua syarikat menyatakan bahawa Samsung C&T akan melanggan cadangan tawaran saham persendirian Kerjaya Prospek sebanyak kira-kira 25.2 juta saham baharu, atau anggaran 2.04 peratus daripada modal saham terbitan sedia ada Kerjaya Prospek, pada RM1.60 sesaham menerusi anak syarikat milik penuh mereka Vista Contracting & Investment Global Pte Ltd dalam usaha untuk menyelaraskan kepentingan jangka panjang.
Menerusinya, ia berkata Kerjaya Prospek akan mengumpulkan kira-kira RM40.4 juta yang akan digunakan bagi modal kerja untuk projek yang sedang dibangunkan dan perbelanjaan.
— BERNAMA




