KUALA TERENGGANU, 1 Jun (Bernama) — TDM Bhd (TDM), menerusi Bahagian Perladangan syarikat, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) meneroka pembangunan baharu tanaman kontan iaitu penanaman cili secara siap guna di Ladang Tayor dekat sini.
TDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan projek dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat itu bersesuaian dengan perancangan kerajaan negeri untuk memperhebatkan sektor pertanian dan industri makanan tempatan, di samping memanfaatkan kawasan yang tiada penanaman kelapa sawit secara produktif.
Menurut kenyataan itu PPK Kuala Langat akan membantu TDMP menguruskan projek penanaman cili itu di tanah seluas lebih dua hektar di Ladang Tayor dan memberikan khidmat nasihat operasi serta teknikal sepanjang tempoh projek selama dua tahun.
Pengarah Eksekutif TDM Najman Kamaruddin berkata projek itu dijalankan bagi mengoptimumkan penggunaan kawasan berpotensi dan menyasarkan projek itu akan diperluas sehingga lebih 80 hektar (200 ekar) menjelang 2025.
Katanya projek itu juga merupakan usaha berterusan syarikat dalam mempelbagaikan aliran pendapatan menggunakan aset sedia ada, di samping membolehkan syarikat untuk berkembang menerusi tempoh yang mencabar.
“Walaupun pandemik COVID-19 secara tidak langsung menjejaskan sektor pertanian negara, kami menjangkakan pemulihan permintaan yang progresif memandangkan kini perniagaan kembali beroperasi seperti biasa.
“Kami ingin mengambil peluang ini dengan memanfaatkan kepakaran PPK Kuala Langat dalam perniagaan pertanian, khususnya penanaman cili, memaksimumkan hasil mengikut keluasan tanah sambil turut menyumbang kepada jaminan dan bekalan makanan negara,” katanya.
Syarikat itu juga katanya sedang mencari rakan industri berpengalaman untuk mewujudkan lebih banyak kerjasama strategik bagi mengembangkan projek tanaman cili dan memanfaatkan kawasan berpotensi lain yang telah dikenal pasti.
Sementara itu, Pengerusi PPK Kuala Langat Abdul Razak Kasbollah berkata pihaknya telah menyemai 20,000 polibeg cili yang ditanam dengan teknik pertanian pintar Internet Pelbagai Benda (IoT).
“Sistem pertanian pintar syarikat kami direka untuk memantau kawasan tanaman dengan bantuan penderia dan sistem fertigasi automatik.
“Teknik pertanian pintar IoT ini menjanjikan hasil berkualiti premium dan meningkatkan hasil pengeluaran serta pada yang sama mengurangkan kos operasi,” katanya.
— BERNAMA




