KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) — Wallbox, penyedia penyelesaian pengecasan dan pengurusan tenaga kenderaan elektrik (EV), menjalinkan perkongsian dengan Sime Darby Bhd untuk mempercepat penggunaan EV di Malaysia.
Mengikut perjanjian itu, Mecomb Malaysia, anak syarikat Sime Darby, akan mengedarkan rangkaian produk Wallbox dan menjadi antara penyelesaian pengecasan AC (arus ulang alik) pilihan untuk Sime Darby Motors.
Melalui perkongsian ini, ia juga akan membantu meningkatkan pembangunan ekosistem EV di rantau Asia Pasifik, menurut kenyataan bersama Wallbox dan Sime Darby.
Pengarah Urusan Mecomb Malaysia, Ooi Sim Mun berkata pihaknya mahu mengembangkan perkongsian ini di Malaysia dan kemudian memperluas ke seluruh Asia Pasifik.
“Kami gembira dapat menjalinkan perkongsian dengan Wallbox untuk menawarkan penyelesaian EV padat premium,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Jualan, Wallbox, Moises Barea berkata komitmen Sime Darby terhadap kemampanan bukan sahaja melangkaui penyelesaian pengecasan malah merangkumi keseluruhan ekosistem EV.
“Seperti biasa, matlamat kami berterusan untuk menyediakan produk mesra pengguna yang diterima baik oleh pelanggan di seluruh dunia. Kami gembira dapat berkongsi dengan Sime Darby ketika kami terus mengembangkan penyelesaian EV kami di seluruh Malaysia,” katanya.
Sime Darby menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada pasaran EV melalui Sime Darby Motors serta pembekalan dan pemasangan pengecas EV dan penyelesaian pengecasan EV melalui Mecomb di Malaysia.
Ini selaras dengan pelan tindakan kemampanan konglomerat itu yang menyasar untuk mempunyai lebih 50 peratus produk cekap tenaga dalam portfolionya pada 2025.
Wallbox mencipta sistem pengurusan tenaga dan pengecasan kenderaan elektrik termaju, membentuk semula hubungan pengguna dengan grid, namun misinya yang lebih luas adalah memperkasa pengguna untuk mengawal penggunaan, menjimatkan wang dan hidup secara lebih mampan.
— BERNAMA




