KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd (PetDag) bagi suku pertama berakhir pada 31 Mac, 2022, turun kepada RM118.49 juta daripada RM191.11 juta tahun lepas.
Hasil bagi suku tersebut meningkat kepada RM7.62 bilion daripada RM5.14 bilion sebelumnya susulan kuantiti jualan tinggi sebanyak 20 peratus dan purata harga jualan yang naik sebanyak 24 peratus.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia optimis dapat mengekalkan pemulihan pertumbuhannya dengan faktor ekonomi memberangsangkan namun masih berhati-hati dengan turun naik harga minyak mentah yang boleh memberi impak kepada prestasi kewangan dan mudah tunainya.
“Kami akan terus memantau, mengambil langkah mitigasi yang sesuai dan menumpukan kepada strategi bersiap siaga selain mengukuhkan lebih banyak usaha kerjasama ke arah agenda kemampanan untuk membawakan tokokan nilai kepada pelanggan kami,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Osman Rani berkata PetDag bermula dengan baik tahun ini menerusi peningkatan permintaan produk bagi suku pertama.
“Dengan negara kini kembali normal, kami akan memanfaatkan faktor ekonomi yang memberangsangkan untuk mengukuhkan perniagaan teras kami dan menyampaikan agenda pertumbuhan kami,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Pada suku pertama Tahun Kewangan 2022, perniagaan runcit dan gas petroleum cecairnya (LPG) mencatatkan pertumbuhan kuantiti yang didorong oleh kelonggaran sekatan dan situasi pelancongan domestik yang bertambah baik.
Bahagian perniagaan komersialnya merekodkan kuantiti jualan tinggi susulan peningkatan permintaan daripada sektor pembuatan dan penerbangan susulan pembukaan semula operasi perniagaan dan pertambahan penerbangan antarabangsa dan domestik.
Mengenai prospek perniagaannya, penarikan semula jam operasi premis perniagaan dijangka memberi impak positif ke atas permintaan produk bahan api dan bukan bahan api.
“Kami akan terus menyediakan pengalaman yang lancar dan boleh dipercayai kepada pelanggan kami di stesen, memanfaatkan platform digital kami, untuk terus mengukuhkan saluran LPG, mengembangkan cawangan pengedaran LPG, menambah cawangan Petronas AutoExpert 2022, dan mempercepat pertumbuhan menerusi platform e-dagang bagi perniagaan pelincir,” katanya.
— BERNAMA




