KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih Genting Plantation Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022, melonjak kepada RM116.64 juta daripada RM63.73 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, hasil susut kepada RM530.43 juta daripada RM536.58 juta sebelumnya berikutan kuantiti jualan rendah bagi segmen pembuatan hilirannya, sebahagiannya diimbangi oleh segmen perladangan yang merekodkan hasil lebih tinggi di atas sokongan harga produk sawit yang kukuh.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pengeluaran tandan buah segar (FFB) pada suku pertama 2022 rendah sedikit tahun ke tahun apabila hujan lebat semasa suku tersebut menjejaskan operasi ladang di Indonesia, diimbangi oleh pemulihan kukuh di ladang di Malaysia berbanding pengeluaran rendah akibat kemarau tahun lepas.
“Kumpulan mencapai harga minyak sawit mentah dan isirung sawit masing-masing pada RM4,797 setan metrik dan RM4,114 setan metrik,” katanya.
Pada masa depan, kumpulan itu berkata prospek bagi tahun ini sejajar dengan prestasi segmen perladangan utamanya yang bergantung kepada pergerakan dalam harga produk sawit dan pengeluaran FFB kumpulan.
Bagi tempoh jangka pendek, kumpulan itu menjangka harga minyak sawit disokong oleh bekalan terhad minyak sawit dan pengganti minyak dan lemak lain, disokong oleh gabungan faktor seperti kekurangan buruh yang masih belum selesai di Malaysia, kemarau di kawasan pengeluaran kacang soya utama dan konflik Rusia-Ukraine yang berlarutan.
Sementara itu, dasar eksport Indonesia yang tidak menentu dijangka menyumbang kepada kemeruapan harga minyak sawit.
Kumpulan itu menjangkakan pertumbuhan sederhana dalam pengeluaran FFB tahun ini, disokong oleh tambahan kawasan matang dan kawasan matang sedia ada yang akan menjana hasil tinggi di Indonesia.
— BERNAMA




