KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Malaysia Airlines Bhd dan Qatar Airways akan memperluas kerjasama perkongsian kod ke 96 destinasi gabungan yang membolehkan penumpang mengembara ke seluruh dunia dan menikmati kesalinghubungan yang lancar melalui hab utamanya di Kuala Lumpur dan Doha.
Kedua-dua syarikat penerbangan berkata demikian ketika berkongsi pelan hala tuju yang menggariskan fasa seterusnya perkongsian strategik mereka susulan pengumuman Malaysia Airlines untuk melancarkan perkhidmatan tanpa henti dari Kuala Lumpur ke Doha mulai 25 Mei.
Menurut kedua-dua pihak, kerjasama strategik tersebut berkembang progresif sejak 2001 dan berkembang dengan signifikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman pada Februari 2022 untuk memanfaatkan kekuatan rangkaian masing-masing dan memberi akses kukuh kepada pelanggan untuk ke destinasi baharu di luar daripada rangkaian individu mereka dan akhirnya, memacu perjalanan Asia Pasifik.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat penerbangan berkata, pengembangan perkongsian kod tersebut yang memberi tambahan 34 destinasi kepada 62 destinasi perkongsian kod sedia ada, membuktikan satu lagi kejayaan penting bagi hubungan yang terjalin sekian lama di antara syarikat penerbangan nasional kedua-dua negara.
Mereka menjelaskan, perjanjian itu akan memanfaatkan pengembara dari seluruh dunia yang akan mempunyai akses kepada gabungan rangkaian yang lebih besar dan menikmati pengalaman perjalanan yang lancar di kedua-dua syarikat penerbangan melalui tiket perjalanan sehala termasuk daftar masuk, proses menaiki pesawat dan pemeriksaan bagasi, keistimewaan bagi pengguna penerbangan kerap dan akses ruang menunggu bertaraf dunia untuk seluruh perjalanan.
“Bagi menghubungkan kedua-dua rangkaian, kedua-dua syarikat penerbangan berusaha membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan utama di Asia Tenggara, menghubungkan Asia Tenggara, Australia dan New Zealand dengan Timur Tengah, Eropah, Amerika dan Afrika.
“Selain itu, Malaysia Airlines dan Qatar Airways akan menggunakan sinergi merentasi pelbagai bidang dan membangunkan produk inovatif untuk memanfaatkan pelanggan mereka di seluruh dunia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, memandangkan Malaysia sedang menuju ke fasa pandemik, perkongsian itu adalah tepat pada masanya dalam usaha merangsang trafik udara dan mempercepat pemulihan ke tahap pra-pandemik, sambil menambah baik kebolehlihatan jenama global syarikat penerbangan itu.
Sementara itu, GCEO Qatar Airways, Akbar Al Baker berkata, syarikat penerbangan itu meraih keyakinan baharu bagi perjalanan udara dan menjangka menerima pemulihan yang kukuh bagi permintaan global.
“Melalui perkongsian dinamik kami bersama-sama Malaysia Airlines, kami menyasarkan penyediaan perkhidmatan yang tiada tandingan dan pengalaman perjalanan lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kedua-dua syarikat penerbangan berkata, kerjasama yang dipertingkatkan itu akan merangkumi manfaat kesetiaan antara satu sama lain yang membolehkan ahli Qatar Airways Privilege Club meraih dan menebus mata Avios apabila menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines, dan keistimewaan yang sama kepada ahli Enrich Malaysia Airlines apabila menggunakan Qatar Airways.
Katanya, ahli Privilege Club dan Enrich akan turut menikmati pelbagai faedah unik lain bergantung kepada status, seperti akses ruang menunggu percuma, elaun bagasi tambahan percuma, keutamaan untuk daftar masuk, keutamaan menaiki pesawat dan keutamaan penghantaran bagasi di Malaysia Airlines dan Qatar Airways.
— BERNAMA




