KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) — SP Setia Bhd bercadang untuk mengadakan terbitan hak yang boleh ditukar kepada saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar kelas baharu (RCPS-I C) untuk meningkatkan hasil kasar sehingga RM1.18 bilion.
Hasil tersebut akan digunakan bagi membiayai penebusan semua RCPS-I B yang telah diterbitkan pada 29 Disember 2017 dan menanggung kadar dividen keutamaan sebanyak 5.93 peratus, kata pemaju hartanah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Penerbitan RCPS-I C akan membolehkan syarikat itu mendapatkan pembiayaan sehingga RM1.18 bilion pada dividen keutamaan sebanyak 5.43 peratus setahun, boleh ditebus menurut opsyen syarikat, pada atau selepas ulang tahun kelima tarikh terbitan,” katanya.
SP Setia juga akan membantu pelaksanaan terbitan hak berkenaan dan telah mencadangkan untuk meminda perlembagaan syarikat.
SP Setia ketika mengulas mengenai prospek berkata ia menjangkakan pemulihan secara beransur-ansur dalam ekonomi Malaysia, yang akan disokong oleh peningkatan berterusan permintaan global termasuk perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.
“Inflasi utama dijangka menokok sedikit disebabkan oleh gangguan dalam rantaian bekalan global.
“Bagaimanapun, peningkatan pendapatan keseluruhan, keadaan pekerjaan dan sentimen pengguna diramalkan akan melonjakkan perbelanjaan isi rumah yang lebih baik untuk sektor hartanah,” katanya.
Berdasarkan kepada sentimen positif ini, syarikat itu berhasrat untuk membuat pelancaran baharu bernilai RM4 bilion pada tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2022, yang memberi tumpuan kepada projek -projek kediaman atas tanah di Setia Alam, Setia Alam Impian, Setia Bayuemas, Bandar Kinrara, Setia Safiro, Setia Mayuri serta Setia EcoHill 1 dan 2.
Pada masa yang sama, syarikat itu merancang bagi mengurangkan hartanah-hartanahnya yang tidak terjual, yang telah pun mencecah RM1.03 bilion menjelang 31 Disember 2021, melalui pelaksanaan kepelbagaian strategi pemasaran.
Di pasaran antarabangsa pula, ia akan menfokuskan kepada Australia dan Vietnam kerana pasaran ini telah menyediakan syarikat itu dengan pulangan yang baik kepada modal.
Pindaan yang dicadangkan itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan syarikat, aset bersih sesaham serta penggearan yang disatukan, pegangan saham pemegang saham yang besar dalam syarikat, pendapatan sesaham yang disatukan (EPS) termasuk sekuriti boleh tukar syarikat.
“Memandangkan terbitan hak yang dicadangkan itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2022, ia tidak dijangka mempunyai kesan material terhadap pendapatan dan EPS kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2022,” katanya.
Bagaimanapun, ia mungkin mengakibatkan pencairan EPS syarikat yang timbul daripada peningkatan bilangan saham dalam terbitan apabila RCPS-I C ditukar kepada saham baharu.
— BERNAMA




