KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) — Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan Cengild Medical Bhd memulakan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini dan melonjak kepada 43.5 sen pada tengah hari, premium 10.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 33 sen.
Kaunter itu bergerak rancak, meningkat 16.5 sen kepada 49.5 sen pada sesi pembukaan, menyaksikan 119.76 juta saham bertukar tangan di sepanjang sesi pagi dan kekal sebagai saham paling aktif didagangkan.
Cengild berkata ia memperoleh RM72.2 juta daripada IPOnya dengan 218.8 juta saham baharu.
Daripada hasil yang diperoleh, RM13 juta akan digunakan untuk pembesaran pusat perubatan sedia ada di Nexus @ Bangsar South, dengan memajak ruang tambahan seluas 12,000 hingga 15,000 kaki persegi untuk menampung permintaan semasa dan masa depan bagi perkhidmatan perubatannya, katanya.
“Sejumlah RM37.1 juta akan dimanfaatkan untuk pengembangan geografi dengan menubuhkan dua pusat perubatan lengkap baharu yang khusus dalam penyakit gastrousus dan hati, dan obesiti di bandar utama lain di Malaysia seperti Johor Bahru, Pulau Pinang atau Ipoh.
“Sementara RM17.40 juta pula adalah untuk tujuan modal kerja dan RM4.7 juta untuk pembayaran perbelanjaan penyenaraian,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Melangkah ke hadapan, ia menjangkakan pasaran perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Malaysia akan berkembang dengan stabil pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 9.6 peratus dari 2022 hingga 2026, disokong oleh pertumbuhan populasi keseluruhan, populasi yang semakin tua dan peningkatan insiden penyakit tidak berjangkit.
Pengerusi Eksekutif Datuk Dr Tan Huck Joo berkata Cengild telah mengharungi perjalanan yang luar biasa sejak Oktober 2017 dan IPO ini telah menyediakannya platform untuk merealisasikan cita-citanya dan mempercepatkan rancangan pengembangan.
“Sebagai satu-satunya pusat perubatan bebas yang lengkap di Malaysia yang berpengkhususan dalam penyakit gastrousus dan hati, serta obesiti, matlamat kami bukan sahaja untuk memberikan rawatan terbaik untuk pesakit tetapi juga untuk membina pusat kecemerlangan yang bereputasi di rantau ini ,” katanya.
— BERNAMA




