KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) — Cagamas Bhd mengumumkan penetapan harga Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) Kadar Keuntungan Terapung satu tahun bernilai RM300 juta, yang hasilnya akan digunakan untuk membiayai pembelian rumah daripada sistem kewangan.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Chung Chee Leong berkata kejayaan memuktamadkan IMTN syarikat mewakili usaha berterusannya membangunkan pasaran modal dalam pesisir melalui penerbitan struktur yang pelbagai, memenuhi keperluan pasaran dalam persekitaran kadar faedah semasa yang menyumbang secara positif kepada kedalaman dan keluasan pasaran sukuk domestik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Cagamas berkata urus niaga itu menandakan IMTN pertamanya dengan mekanisme kadar terapung sejak Jun 2014, menarik pelabur dengan menyediakan pulangan yang berpotensi lebih tinggi dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat.
Harga IMTN berjaya ditetapkan melalui penempatan persendirian pada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tiga bulan yang sepadan atau bersamaan 2.12 peratus berdasarkan penetapan KLIBOR pada tarikh penetapan harga.
“Terbitan baharu itu menjadikan terbitan agregat syarikat untuk tahun ini kepada RM5.6 bilion.
IMTN itu yang akan ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, pada kedudukan sama rata (ranking pari passu) dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada lain syarikat berkenaan.
— BERNAMA




