KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Bintai Kinden Corporation Bhd memperoleh RM57.4 juta kontrak pencawang dan transformer kuasa daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Anak syarikat milik penuh syarikat itu Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd (KBK) telah menerima dua surat tawaran daripada TNB pada 23 Mac 2022, melantiknya untuk menjadi kontraktor bagi kedua-dua kontrak.
Di bawah kontrak pencawang kuasa, KBK akan membekal, membina, menguji dan mentauliah stesen penukaran suis 275 kilovolt (kV) di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan di Gebeng, Pahang dengan harga RM31.5 juta.
Kontrak kedua bernilai RM25.9 juta akan menyaksikan KBK melaksanakan cadangan sambungan transformer kuasa 132kV di Elmina West di Shah Alam, Selangor.
Bagi kontrak pencawang kuasa pula ia dianggarkan siap dalam tempoh 24 bulan, dan kontrak transformer kuasa dalam tempoh 18 bulan.
Pengarah Eksekutif Azri Azerai dalam satu kenyataan berkata kontrak yang baharu diperoleh ini dijangka mengukuhkan dan menambah kepercayaan terhadap rekod prestasi syarikat dalam industri mekanikal dan kejuruteraan.
“Kami akan terus memanfaatkan kecekapan teras kami untuk membida lebih banyak kontrak.”
Kedua-dua kontrak dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 dan tahun kewangan 2023 serta kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak.
Termasuk kontrak pencawang dan transformer kuasa, Bintai Kinden berjaya meningkatkan nilai perolehan kontrak tertunggaknya kepada kira-kira RM170.9 juta, yang akan memberikan pendapatan yang baik untuk dua tahun kewangan akan datang.
— BERNAMA




