KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Tawaran Awam Permulaan (IPO) Senheng New Retail Bhd telah menarik minat yang kukuh di Pasaran Utama Bursa Malaysia sehingga bahagian awamnya terlebih langgan sebanyak 10.4 kali ganda.
Kumpulan itu menerima 16,548 permohonan untuk 343.2 juta saham dengan nilai agregat RM367.3 juta membabitkan bahagian awam IPO kumpulan yang terdiri daripada 30 juta saham yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
Senheng dijangka disenaraikan pada 25 Jan depan dan akan menjadi penyenaraian sulung Pasaran Utama pada tahun ini.
Pengerusi Eksekutif Lim Kim Heng berkata IPO Senheng yang terlebih langgan mencerminkan keyakinan orang ramai terhadap rekod prestasi lebih 30 tahunnya dalam membina salah satu jenama runcit terbaik dan yang paling progresif di Malaysia, selain strategi pertumbuhan yang mengubah cara pengguna membeli-belah.
“Melangkah ke hadapan, kami akan memperluaskan rangkaian kedai kami di seluruh negara, meningkatkan pengalaman membeli-belah dalam kedai serta dalam talian termasuk membawa rangkaian produk berkualiti yang lebih banyak kepada pelanggan kami.
“Kami juga sedang meningkatkan keupayaan infrastruktur dan logistik digital kami bagi mengembangkan kelancaran pengalaman runcit kami dalam era digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan itu menyasarkan pembayaran dividen sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan bersih kepada pemegang saham berikutan komitmen mereka selama menyertai perjalanan transformatif ke arah pembentukan landskap runcit baharu Malaysia.
Pelaksanaan IPO itu melibatkan terbitan awam 250 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 139.5 juta saham sedia ada pada harga terbitan sebanyak RM1.07 sesaham.
Daripada hasil yang akan dikumpul daripada terbitan awam, 60 peratus bertujuan bagi pembukaan kedai baharu serta menaik taraf kedai sedia ada kepada kedai konsep yang lebih besar dan canggih.
“Kumpulan mahu menaik taraf atau membuka 61 kedai baharu dan sedia ada bermula 2022 hingga 2024 untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan,” katanya.
Peruncit elektrik dan elektronik pengguna itu berkata 19.3 peratus lagi akan dipakai bagi mengukuhkan kapasiti serta keupayaan bahagian belakang kumpulan, manakala baki 20.7 peratus akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank termasuk perbelanjaan penyenaraian.
— BERNAMA
![[Kemaskini] Senheng Sasar Kumpul RM267.5 Juta Daripada IPO](https://thekapital.my/wp-content/uploads/2021/12/senheng-750x375.jpeg)



