KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) — Harga bagi cip semikonduktor dijangka meningkat merentasi spektrum berikutan kekurangan cip global yang dijangka berlanjutan sehingga akhir tahun depan.
Moody’s Analytics berkata trend bekerja secara jauh yang semakin pesat akibat sekatan pergerakan daripada COVID-19 telah meningkatkan permintaan terhadap cip semikonduktor.
“Mengambil kira sifat intensif modal dalam proses pengeluaran mereka, bekalan tidak dapat mengikut kadar peningkatan dalam permintaan,” katanya menerusi nota hari ini.
Menurutnya pembuat cip terbesar dunia, Taiwan Semiconductor Manufacturing Co telah menaikkan harga merentasi spektrum, sebahagiannya sehingga 20 peratus, manakala pembuat cip China telah disaman oleh kerajaan China kerana peningkatan harga yang amat tinggi.
“Harga cip telah meningkat dan ia dijangka meningkat lebih tinggi.
“Apakah beberapa kesan hiliran daripada dinamik harga dan kuantiti ini? Harga kereta telah meningkat dengan ketara dengan purata jualan seunit adalah US$8,200 lebih tinggi berbanding dua tahun lepas, dan kita boleh jangkakan lebih banyak lagi keadaan seumpama ini,” tambahnya.
Moody’s Analytics berkata Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pembuatan China mencatat lonjakan, dan kesan pelepasan yang sama dapat dilihat dalam IHPR pembuatan lain di seluruh dunia.
“Berikutan Indeks Pengurus Pembelian bagi kebanyakan negara mencatatkan kemerosotan kemampuan pengeluaran cip yang signifikan, kita jangkakan kekurangan akan berlaku sementara dan perlu bersedia untuk berdepan cabaran akan datang,” katanya.
— BERNAMA
