KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan di kaunter produk perindustrian dan perkhidmatan yang terpilih serta pengangkutan dan logistik dalam persekitaran sentimen pasaran serantau yang bercampur-campur, kata peniaga.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot sebanyak 0.24 peratus atau 3.73 mata kepada 1,583.05 daripada 1,586.89 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks dibuka tinggi 1.42 mata kepada 1,588.31 dan berada antara 1,582.25 dan 1,593.57 sepanjang sesi pagi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 529 berbanding 377, manakala 438 kaunter tidak berubah, 874 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.37 bilion unit bernilai RM1.48 bilion.
Sementara itu, dalam nota penyelidikan hari ini, Rakuten Trade berkata indeks petunjuk pasaran dijangka tidak banyak berubah dengan aktiviti belian saham pada harga rendah dijangka berlaku jika indeks merosot di bawah paras 1,575.
“Wall Street ditutup bercampur-campur berikutan aktiviti dagangan yang terus rendah berikutan data pekerjaan yang lebih rendah daripada jangkaan. Dow Jones Industrial Average ditutup rendah 48 mata manakala Nasdaq naik sebanyak 50 mata untuk kekal melebihi paras 15,300.
“Berdasarkan situasi itu, kami menjangka pasaran serantau mencatatkan satu lagi prestasi bercampur-campur pada masa depan,” katanya.
Bagi bursa tempatan, Rakuten berkata jualan pada saat akhir menyaksikan indeks merosot di bawah paras 1,590 semalam.
“Bagaimanapun, kami mendapati pembetulan ini adalah berikutan peningkatan sejak pertengahan Ogos, yang menyaksikan indeks petunjuk pasaran naik hampir 7.0 peratus. Kami percaya indeks akan diniagakan pada sekitar julat 1,580-1,590 hari ini,” katanya.
Daripada saham wajaran tinggi, Maybank merosot 2.0 sen kepada RM8.28 dan Public Bank susut 1.0 sen kepada RM4.07 manakala Petronas Chemicals dan Tenaga Nasional, masing-masing tidak berubah pada RM8.29 dan RM10.34 dan IHH Healthcare menambah 4.0 sen kepada RM6.37.
Dalam kalangan saham aktif, Ho Wah Genting naik 3.5 sen kepada 33.5 sen dan TFP Solutions meningkat setengah sen kepada 22.5 sen. Bagaimanapun, Bintai Kinden berkurangan 4.0 sen kepada 52.5 sen dan TA Win merosot setengah sen kepada 16.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 22.58 mata kepada 11,538.76, Indeks FBMT 100 berkurangan 21.39 mata kepada 11,243.65 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 32.01 mata kepada 12,667.08.
FBM 70 susut 5.47 mata kepada 15,011.98 manakala FBM ACE merosot 33.80 mata kepada 7,182.22.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 24.07 mata kepada 6,733.52, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.97 mata kepada 198.60 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 4.84 mata kepada 15,391.70.
— BERNAMA

