KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih tinggi, disokong oleh jangkaan musim pengumuman pendapatan yang menggalakkan selain daripada sentimen positif berikutan perkembangan baik politik Malaysia.
Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 3.86 mata atau 0.25 peratus kepada 1,521.89 berbanding 1,518.03 pada penutupan urus niaga Jumaat minggu lepas.
Indeks utama dibuka 1.96 mata lebih tinggi pada 1,519.99 dan bergerak antara 1,519.53 dan 1,524.86 di sepanjang sesi pagi hingga tengah hari.
Pergerakan harga di pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 494 berbalas 379 manakala 415 kaunter tidak berubah, 920 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah 2.5 bilion saham bernilai RM1.1 bilion.
Rakuten Trade Sdn Bhd berkata setakat ini, pendapatan syarikat-syarikat tersenarai tampak mantap untuk suku kedua 2021.
“Memandangkan fokus utama pentadbiran baharu ialah mengekang kes COVID-19, kami berharap kes harian akan dapat dikawal dan pada masa yang sama semua mata tertumpu kepada pelonggaran kawalan sekatan yang seterusnya,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Rakuten Trade turut mengunjurkan indeks akan mengukuh dan bergerak dalam julat 1,515-1,525.
Selain itu, pelabur akan menantikan laporan kadar inflasi Malaysia untuk bulan Julai yang dijadual diumumkan pada Rabu.
Mereka turut memantau simposium Jackson Hole pada Khamis yang dijangka memberikan beberapa petunjuk mengenai hala tuju dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.
Di bursa tempatan pula, saham berwajaran tinggi Press Metal naik lapan sen kepada RM4.96, sementara CIMB dan Petronas Chemicals masing-masing tiga sen lebih tinggi pada RM4.67 dan RM7.97.
Petronas Dagangan meningkat 22 sen kepada RM18.94, Maybank menambah dua sen kepada RM8.14 dan Genting Malaysia mengukuh lima sen pada RM2.83.
Sementara itu, Hartalega kerugian 10 sen kepada RM6.96 dan Top Glove turun dua sen kepada RM3.78.
Dalam kalangan saham aktif, Advance Synergy turun 3.5 sen kepada 15.5 sen, MMAG menyusut setengah sen pada 12.5 sen, Advance Information jatuh 16 sen kepada 34.5 sen dan Fintech Global tidak berubah pada 2.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 38.22 mata kepada 11,146.18, Indeks FBMT 100 meningkat 35.74 mata kepada 10,856.38, Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 36.89 mata kepada 12,254.40, FBM 70 naik 80.21 mata kepada 14,679.06, sementara FBM ACE meningkat 3.63 mata kepada 7,149.99.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 6.19 mata kepada 6,410.19, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 44.38 mata kepada 14,887.25, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.39 mata kepada 189.65.
– BERNAMA

