KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi hari ini agak rendah berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung yang membabitkan kaunter produk perindustrian dan perkhidmatan terpilih serta teknologi, kata para peniaga.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.34 mata kepada 1,501.63 berbanding 1,501.97 pada penutupan urus niaga Khamis.
Indeks utama dibuka 1.39 mata lebih tinggi pada 1,503.36 dan bergerak antara 1,500.48 dan 1,507.74 di sepanjang sesi urus niaga pagi hingga tengah hari.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 491 berbalas 338 manakala 409 kaunter tidak berubah, 978 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 1.92 bilion unit bernilai RM965.92 juta.
Menurut seorang peniaga, pasaran Asia kebanyakannya lemah walaupun terdapat sentimen positif daripada prestasi semalaman Wall Street. Ini ialah kerana para pelabur masih bimbang dengan tindakan sekatan undang-undang di China baru-baru ini dan penularan varian koronavirus yang semakin ketara di rantau ini.
Kerajaan China baru-baru ini melancarkan rancangan lima tahun yang menggariskan peraturan yang lebih ketat bagi sebahagian besar ekonominya.
Ia berkata peraturan baharu itu akan meliputi bidang termasuk keselamatan negara, teknologi dan penguasaan monopoli dalam ekonomi kedua terbesar di dunia.
Sementara itu, dalam kalangan saham berwajaran tinggi Maybank naik 2.0 sen kepada RM8.03, Public Bank tidak berubah pada RM3.95, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing turun 2.0 sen kepada RM7.97 dan RM5.81, sementara TNB menyusut 4.0 sen kepada RM9.66.
Bagi saham aktif, Serba Dinamik dan KNM masing-masing menambah 1.5 sen kepada 43.5 sen dan 21.5 sen, sementara Dagang Nexchange turun 2.0 sen kepada 79.5 sen dan Komarkcorp susut 1.5 sen kepada 14.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 10.26 mata pada 10,997.24, Indeks FBMT 100 susut 10.79 mata kepada 10,713.08, FBM 70 lebih rendah 47.38 mata kepada 14,489.99, Indeks FBM Emas Syariah kerugian 23.76 mata kepada 12,063.19 sementara FBM ACE berkurangan 65.44 mata kepada 7,079.59.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.23 mata kepada 14,775.56, Indeks Perladangan meningkat 7.66 mata kepada 6,129.19 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.04 mata kepada 188.76.
— BERNAMA

