KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) — Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB), melalui anak syarikat Malaysia dan Indonesianya, berjaya memperoleh 15 kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu global itu dalam satu kenyataan hari ini berkata daripada 15 kontrak tersebut, lapan bernilai US$67.7 juta (RM286.3 juta) dengan jangka masa kerja sehingga 31 Mei, 2024.
SDHB berkata unit PT SDI memperoleh tiga kontrak O&M di Indonesia, dua daripada PT Pertamina dan satu daripada Saka Energi Muriah Ltd.
Menerusi Serba Dinamik International Ltd, syarikat itu memperoleh satu kontrak EPCC bagi projek Kuasa Hidro Myagdi Khola 57.3-megawatt (MW) di wilayah Gandaki, Nepal.
Kumpulan itu juga memperoleh beberapa kontrak daripada Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd.
Pengerusi SDHB Datuk Ilyas Mohamed berkata kontrak ini adalah bukti bahawa perniagaan operasi syarikat berkenaan masih dalam keadaan baik walaupun cabaran yang dihadapinya di bahagian korporat.
“Disokong oleh rekod prestasi yang baik, kami optimis bahawa Serba Dinamik mampu untuk menyiapkan 15 projek tersebut dan dalam masa yang sama memastikan ia menyumbang kepada aliran pendapatan syarikat,” katanya.
SDHB berkata kontrak yang diperoleh itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022.
— BERNAMA




