KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini, disokong oleh perkembangan positif dalam ekonomi tempatan, kata peniaga.
Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.38 mata kepada 1,504.11 daripada 1,496.73 semasa ditutup pada Isnin.
Saham pandu pasaran, yang dibuka tinggi 2.70 mata kepada 1,499.43, turun naik antara 1,498.53 dan 1,514.52 sepanjang sesi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 522 berbanding 418, manakala 420 kaunter tidak berubah, 844 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.51 bilion unit bernilai RM1.53 bilion.
Dalam nota penyelidikan, Rakuten Trade berkata pihaknya menjangka belian akan berterusan berikutan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengunjurkan indeks petunjuk pasaran tempatan akan berada dalam julat 1,495-1,505 hari ini.
Katanya ekuiti yang berkaitan dengan pembukaan semula ekonomi kembali dengan kukuh berikutan Wall Street ditutup tinggi sekali lagi.
“Didorong oleh pelan infrastruktur Senat Amerika Syarikat yang merangkumi perbelanjaan baharu sebanyak US$550 bilion, Dow Jones Industrial Average meningkat 165 mata untuk ditutup kepada hampir paras 35,300.
“Di peringkat tempatan, FBM KLCI meningkat semula tetapi masih kekurangan kekuatan belian yang dikehendaki.
“Kami masih menyaksikan jualan daripada dana asing pada Isnin tetapi diserap dengan baik,” katanya.
Daripada saham wajaran tinggi, Maybank menambah 4.0 sen kepada RM8.04, TNB naik 3.0 sen kepada RM9.71, IHH Healthcare meningkat 2.0 sen kepada RM5.81 manakala Public Bank tidak berubah pada RM3.96 dan Petronas Chemicals merosot 1.0 sen kepada RM7.99.
Dalam kalangan saham aktif, DNex naik 4.0 sen kepada 85.5 sen, TA Win dan M3 Technologies, masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 18.5 sen dan 7.0 sen serta Serba Dinamik menambah setengah sen kepada 41 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 56.76 mata kepada 11,055.10, Indeks FBMT 100 menambah 58.56 mata kepada 10,765.70, FBM 70 meningkat 102.39 mata kepada 14,697.33, Indeks FBM Emas Shariah menokok 76.47 mata kepada 12,148.66 dan FBM ACE naik 74.16 mata kepada 7,268.37.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 60.06 mata kepada 14,786.99, Indeks Perladangan menambah 31.83 mata kepada 6,133.17 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.79 mata kepada 190.11.
— BERNAMA

