KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan tengah hari lebih rendah dengan dengan indeks utama kekal di bawah paras 1,500 mata, terjejas oleh sentimen pasaran yang lemah.
Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran menyusut 4.79 mata kepada 1,489.81 daripada penutupan Jumaat iaitu 1,494.6.
Indeks utama yang dibuka 2.79 mata lebih tinggi pada 1,497.39, bergerak antara 1,486.23 dan 1,499.74 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 612 berbalas 334 manakala 343 kaunter tidak berubah, 883 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 1.81 bilion unit bernilai RM1.14 bilion.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan kekal di zon negatif untuk sebahagian besar sesi pagi kerana ketidakpastian yang melanda persekitaran pasaran.
“Meskipun kebimbangan terhadap sekatan peraturan di China telah reda, sentimen di pasaran terjejas oleh perkembangan terbaru senario politik tempatan.
“Ketidakpastian itu sedikit sebanyak mendorong beberapa pelabur menarik balik pegangan mereka,” kata peniaga itu kepada Bernama.
Dalam kalangan saham saham berwajaran tinggi, Public Bank dan PChem masing-masing susut satu sen kepada RM3.97 dan RM8.03 manakala Tenaga turun tiga sen kepada RM9.61.
IHH melonjak enam sen kepada RM5.70, CIMB menambah satu sen kepada RM4.46, sementara Maybank tidak berubah pada RM8.01.
Bagi saham aktif, Serba Dinamik turun 1.5 sen kepada 38 sen, PUC naik setengah sen kepada 18.5 sen, M3 susut satu sen kepada 5.5 sen, sementara Resintech menambah 12 sen kepada 71.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 14.7 mata kepada 10,958.77, Indeks FBMT 100 susut 10.05 mata kepada 10,671.2, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 13.2 mata kepada 12,035.88, dan FBM ACE merosot 27.85 mata kepada 7,052.78.
Bagaimanapun, FBM 70 melonjak 80.43 mata kepada 14,598.72.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 10.98 mata kepada 14,670.47, Indeks Perladangan menyusut 66.12 mata kepada 5,972.92, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih rendah sebanyak 0.18 mata kepada 187.02.
— BERNAMA

