KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia kekal diniagakan tinggi ketika mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini sejajar dengan prestasi di kebanyakan bursa serantau, dirangsang oleh kegiatan membeli semasa harga saham murah membabitkan kaunter berwajaran tinggi.
Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.97 mata kepada 1,515.50 daripada 1,512.53 ketika ditutup semalam.
Indeks utama dibuka 3.20 mata lebih tinggi pada 1,515.50 dan bergerak antara 1,513.20 dan 1,517.39 sepanjang sesi pagi hingga tengah hari.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 493 berbalas 348 manakala 444 kaunter tidak berubah, 941 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 2.29 bilion unit bernilai RM1.34 bilion.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan dibuka lebih tinggi dan kekal dalam zon positif sepanjang sesi pagi, menjejaki prestasi keuntungan sederhana rakan serantau yang lain dengan pasaran China dan Hong Kong kembali stabil daripada kerugian mendadak pada hari sebelumnya.
Ekuiti Asia turut mengambil petunjuk daripada prestasi di Wall Street dan ekuiti Eropah yang beralih antara keuntungan dan kerugian sederhana pada hari Isnin menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan bank pusat AS minggu ini, katanya.
Di pasaran serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.50 peratus kepada 3,154.66, Kospi Korea Selatan menokok 0.71 peratus kepada 3,247.79, Nikkei 225 Jepun menambah 0.56 peratus kepada 27,989.32 tetapi Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.03 peratus kepada 25,922.83.
Beliau menambah bursa tempatan turut diniagakan dalam mod stabil dengan para pelabur terus mengambil sikap berhati-hati dengan bermulanya sidang khas Parlimen selama lima hari minggu ini.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.01, Public Bank dan TNB masing-masing menambah dua sen kepada RM4.02 dan RM9.72, IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM5.80 tetapi Petronas Chemicals turun dua sen pada RM7.97 .
Antara saham aktif, BCM Alliance OR turun 11.5 sen kepada setengah sen, Serba Dinamik dan PUC naik setengah sen masing-masing kepada 42.5 sen dan 18 sen, Central Global menambah tiga sen kepada RM1.75 sementara BCM Alliance kekal pada 15.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 17.80 mata kepada 11,112.11, FBM 70 naik 22.61 mata kepada 14,630.55, Indeks FBM Emas Syariah 2.47 mata lebih baik pada 12,219.33, dan Indeks FBMT 100 naik 20.02 mata kepada 10,813.29.
FBM ACE susut 10.81 mata kepada 7,312.69.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 40.65 mata kepada 14,793.89, Indeks Perladangan meningkat 5.14 mata kepada 6,194.42, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.11 mata kepada 189.12.
— BERNAMA

