Besi merupakan sumber logam yang penting kepada industri pembinaan hartanah, infrastruktur dan juga perkilangan. Seperti komoditi lain, harga besi juga amat berkait rapat dengan faktor ekonomi dunia.
Besi turut dipengaruhi oleh keadaan geopolitik dan hubungan perdagangan antara kuasa besar dunia. Untuk makluman, lima negara pengeluar terbesar besi dunia adalah China, Jepun, India, Rusia dan Amerika Syarikat.
Sektor besi merupakan antara komoditi yang mengalami kejatuhan teruk sewaktu pandemik Covid-19. World Steel Association, sebuah pertubuhan terbesar dunia menguasai 85 peratus daripada pengeluaran besi di dunia melaporkan kejatuhan pengeluaran di antara 6.1% ke 13.6%, pada bulan Mac hingga April 2020.
ArcelorMittal, pengeluar besi terbesar di dunia yang berpusat di Kota Luxembourg mengalami kerugian sebanyak USD0.7 bilion. Pengeluaran syarikat tersebut turun sebanyak 18.2% sepanjang tahun 2020. Diniagakan di hampir kesemua bursa saham terpenting di Eropah dan juga NYSE, ArcelorMittal dianggap sebagai penanda aras terpenting bagi industri ini.
Menurut laporan kewangan syarikat bagi tahun 2020, ArcelorMittal menyasarkan pemulihan terhadap permintaan besi dengan peningkatan antara 4.5%-5.5% manakala laporan oleh World Steel Association menunjukkan bahawa pengeluaran besi dunia telah pun meningkat naik daripada 6.6% pada Disember 2020 kepada 9.1% pada Januari 2021.
Terdapat juga berita penggabungan antara Anshan Iron & Steel Group dan juga Benxi Iron & Steel Group. Penggabungan tersebut akan mengambil alih takhta ArcelorMittal sebagai pengeluar besi terbesar di dunia.
Penggabungan ini juga bakal meningkatkan dominasi China dalam pengeluaran besi, yang kini berjumlah 1 bilion tan setahun.
Di Singapura, harga bagi pasaran hadapan komoditi bijih besi, bahan utama dalam pembuatan besi meningkat dengan baik baru-baru ini. untuk mencecah paras USD174.85 setan. Faktor yang mempengaruhi harga komoditi ini adalah sama seperti harga pasaran besi.
Berdasarkan modal pasaran sebanyak RM1.288 bilion, Ann Joo Resources Bhd merupakan syarikat pengeluar besi terbesar di Malaysia. Pada hari ini ANNJOO diniagakan pada harga RM2.30 sesaham, berbanding RM1.65 pada penghujung Disember tahun lalu.
Sepanjang Mac hingga April tahun ini, nilai saham ANNJOO meningkat sebanyak 3.1%. Jika kita bandingkan dengan nilai saham syarikat ini dengan tahun lalu, nilai saham ANNJOO meningkat sebanyak 221.7%. Ann Joo Resources Bhd merupakan sebuah syarikat patuh syariah yang diniagakan di Bursa Malaysia.
Mengekori rapat di belakang ANNJOO adalah syarikat PMB Technology Bhd. Biarpun hanya ditubuhkan pada tahun 2002 sebagai syarikat di bawah Press Metal Aluminium Holdings Bhd, PMBTECH kini mempunyai modal pasaran sebanyak RM1.208 bilion.
Selepas melepaskan perniagaan peleburan aluminium kepada Press Metal Aluminium Holdings Bhd (PMETAL) awal tahun lalu dengan nilai RM44.39 juta, PMBTECH dilaporkan berminat untuk melabur dalam industri metallic silicon. PMETAL adalah syarikat terbesar dalam industri peleburan aluminum di Asia Tenggara.
Pada hari ini, PMBTECH merupakan pembuat perancah (scaffolding) terbesar di Malaysia. Nilai saham PMBTECH yang diniagakan pada hari ini adalah sekitar RM5.73, iaitu kenaikan sebanyak 91.6% berbanding tahun lalu.
Apabila membincangkan tentang komoditi besi, sektor pembinaan hartanah amat berkait rapat dengan harga pasaran komoditi ini. Hartanah dijangka menjadi salah satu sektor ekonomi yang akan kembali meningkat naik pasca pandemik.
Sebelum ini, sektor hartanah di Malaysia dilaporkan mengalami penurunan sebanyak 19% daripada segi jualan, setakat pertengahan tahun lalu ekoran penularan pandemik COVID-19.
Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) melaporkan penurunan sektor hartanah secara menyeluruh sepanjang tahun 2020. Menurut NAPIC, pasaran hartanah Malaysia merekodkan sebanyak 295,968 transaksi bernilai RM119.08 bilion pada tahun 2020, iaitu penurunan 9.9%dan 15.8%tahun ke tahun daripada segi jumlah dan nilai berbanding tahun 2019.
Antara faktor yang memberikan impak positif terhadap sektor ini di Bursa Malaysia pada masa sekarang termasuklah kadar faedah yang kini berada di tahap paling rendah, kecairan pasaran dan langkah-langkah sokongan yang diberikan oleh kerajaan. Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah akan mengurangkan ansuran pinjaman bulanan untuk pemilik hartanah, sekaligus menjadi faktor yang mengujakan bakal pembeli.
Pada Februari 2021, iProperty merekodkan jumlah pengunjung bulanan paling tinggi iaitu 10 juta pengunjung berbanding tempoh sama tahun lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Menurut laporan oleh iProperty, program vaksinasi yang sedang berjalan akan memberikan kelegaan yang diperlukan oleh pasaran hartanah tempatan.
Kaunter-kaunter sektor hartanah di Bursa Malaysia kini mula menjadi tumpuan pelabur. Mah Sing Group Berhad adalah antara syarikat hartanah dengan modal pasaran sebanyak RM2.161 bilion yang menunjukkan peningkatan sejak sebulan yang lalu. Nilai saham MAHSING meningkat sebanyak 7.9% dalam tempoh sebulan, manakala nilai saham syarikat tersebut meningkat 110.9% berbanding tahun lalu.
Syarikat tersebut meletakkan sasaran jualan daripada sektor hartanah bagi tahun 2021 sebanyak RM1.6 bilion. RM250 juta nilai jualan dicatatkan sepanjang Januari hingga Februari 2021 dan momentum jualan ini berterusan pada bulan Mac.
Bagi tahun 2021 juga, MAHSING akan melancarkan projek hartanah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.4 bilion.

Begitu juga dengan syarikat Eco Word Development Group Berhad (ECOWLD). Dengan modal pasaran sebanyak RM1.899 bilion, nilai saham ECOWLD meningkat sebanyak 4.9% dalam tempoh sebulan, manakala nilai saham syarikat tersebut meningkat sebanyak 63.3% berbanding tahun lalu.
Ini turut dibantu oleh kenaikan keuntungan bersih bagi suku tahun pertama yang berakhir Januari 2021 sebanyak 71%. Dengan nilai keuntungan sebanyak RM62.4 juta berbanding RM36.5 juta pada tahun lalu, keuntungan ini dibantu oleh peningkatan keuntungan sebanyak 60% daripada projek usaha sama.
Jumlah jualan yang berjaya diraih pada suku pertama juga meningkat sebanyak RM706 juta berbanding RM305 juta pada tahun lalu.
Bagi sepuluh bulan lalu, jumlah jualan yang dicatatkan oleh ECOWLD bernilai RM2.88 bilion, menghampiri jumlah yang dicatatkan sebelum pandemik. Kedua-dua syarikat Eco World Malaysia dan Eco World International juga dijangka mencapai sasaran jualan sebanyak RM5 bilion bagi tahun 2021.
Dapatan-dapatan positif ini mencerminkan keyakinan pembeli dan pelabur terhadap pasaran sektor hartanah di negara kita, pasca pandemik Covid-19.
Peluang Sauk Saham Yang Membuat Reversal

Buy on Dip ialah teknik membeli saham ketika anda nampak Bullish Reversal candlestick muncul pada carta.
Teknik ini dapat membantu memberitahu anda kemungkinan pertukaran trend yang akan berlaku.
Ia akan memudahkan anda untuk membuat keputusan bila waktu yang sesuai nak beli saham apabila saham dalam watchlist anda membuat pullback.
Dalam e-book ini, anda akan belajar:
1. Memahami trend
2. Kuasai support & resistance
3. Berkenalan dengan jenis-jenis carta
4. Memahami bagaimana pembentukan candlestick
5. Belajar beli ketika bullish reversal candlestick muncul pada carta
6. Belajar jual ketika bearish reversal candlestick muncul pada carta
7. Ada contoh kajian kes. Bukan 1 tapi 6 kajian kes!




