KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) — Kerjaya Prospek Group Bhd yang menjalinkan usaha sama dengan Gamuda Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM202.6 juta untuk melakukan kerja infrastruktur di Gurney Marine Bridge dan semua kerja kejuruteraan awam lain yang berkaitan untuk Seri Tanjung Pinang Fasa 2 (STP2).
Kerjaya Prospek berkata anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd melalui kerjasama dengan unit Gamuda Gamuda Engineering Sdn Bhd telah menerima Surat Lantikan (LOA) daripada Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD) untuk kerja-kerja di jambatan yang menghubungkan Jalan Gurney dengan Pulau STP2.
Selain kerja-kerja di jambatan, kontrak itu juga melibatkan penyiapan jalan utama seluas 55,47 meter dari jambatan ke bulatan Gurney dan kerja-kerja menaik taraf bulatan.
TPD adalah anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O).
Kerjaya Prospek berkata LOA itu menjadikan jumlah kontrak yang diperoleh pada tahun 2021 kepada RM356.1 juta.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Tee Eng Ho berkata kontrak itu adalah projek jambatan kedua selepas ‘marine bridge’ yang merentasi laut menghubungkan Jalan Seri Tanjung Pinang di Pulau Pinang dengan Pulau STP2 siap.
Beliau berkata menerusi peruntukan yang lebih tinggi daripada kerajaan Malaysia untuk perbelanjaan infrastruktur, ia pasti akan membuka lebih banyak peluang bagi kumpulan itu untuk turut serta dalam projek infrastruktur.
“Kami menjangka kontrak ini dapat memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham untuk tahun kewangan 2021 hingga 2023,” kata Tee.
Kerjaya berkata kerja-kerja infrastruktur yang dijadual bermula pada 4 Mei 2021 akan mengambil masa selama 30 bulan untuk disiapkan.
Kontrak itu dianggap sebagai urus niaga berulang pihak yang terbabit, ia mempunyai hasil atau dagangan menurut syarat penyenaraian Bursa Malaysia Securities Bhd kerana Tee adalah pengarah dan pemegang saham utama tidak langsung E&O.
— BERNAMA




