KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) — Rex Industry Bhd (REX) menerima notis tawaran pengambilalihan mandatori bersyarat oleh ETA Industries Sdn Bhd (ETAI) bernilai RM26.81 juta secara tunai.
Tawaran itu dibuat melalui UOB Kay Hian Securities Sdn Bhd (UOBKH).
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata ETAI mengambil alih sebanyak 266.98 juta saham biasa hari ini mewakili 40.59 peratus daripada jumlah keseluruhan saham pada harga 10 sen sesaham serta 21.48 juta waran mewakili 39.18 peratus daripada waran pada harga setengah sen daripada Darmendran Kunaretnam (DK) dan Daiman Taipan Sdn Bhd.
Di bawah peraturan pengambilalihan, ETAI dikehendaki melanjutkan tawaran kepada baki pemegang saham REX yang lain.
Ia berkata tawaran tersebut akan kekal terbuka untuk penerimaan sehingga 5 petang selama tidak kurang daripada 21 hari dari tarikh siaran.
Dagangan sekuriti REX bagaimanapun dihentikan dari 2:30 petang hingga 3:30 petang.
Saham REX meningkat sebanyak setengah sen kepada 10.5 sen dengan 831,200 saham diniagakan sehingga 3.45 petang.
— BERNAMA




