KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) — Nestlé (Malaysia) Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah kepada RM161.34 juta bagi suku pertama 2025 yang berakhir pada 31 Mac, 2025 (S1 2025) daripada RM195.51 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Perolehan hasil susut kepada RM1.77 bilion daripada RM1.78 bilion sebelum ini.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata bahawa pertumbuhan jualan eksportnya kekal kukuh pada 8.8 peratus manakala jualan domestik di tahap pemulihan ketara merentasi kategori, sekali gus memaparkan kejayaan perancangan dan pelaksanaan ketika tempoh perayaan.
“Di tengah-tengah persekitaran operasi yang terus sukar berikutan tekanan berterusan ke atas harga komoditi dan landskap persaingan yang sengit, kumpulan ini mengekalkan tumpuan dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan jualan merentasi semua saluran komersial serta kelangsungan jenama dan penawaran produknya,” katanya.
Menurut Nestlé, produk utamanya kekal mencatat prestasi baik, disokong oleh inovasi produk yang menerima sambutan baik pelanggan dan menyumbang dari segi mengekalkan kedudukan kukuhnya sebagai peneraju pasaran.
Bagi prospek, kumpulan itu menyasarkan meraih pertumbuhan sihat menjelang separuh pertama 2025 dengan terus melabur dalam inovasi produk selain meningkatkan keupayaan pembuatannya.
“Menerusi pengalaman lebih 113 tahun bertapak di Malaysia, Nestlé kekal komited untuk terus mengukuhkan perkara itu selain menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
“Selain itu, bersandarkan asas kukuhnya di Malaysia, strategi kitarannya adalah untuk terus memacu pertumbuhan mampan ketika kumpulan memantau perkembangan geopolitik dan pasaran global yang berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi lebih ketara,” katanya.
— BERNAMA