Kuala Lumpur, 27 April 2025, – Bursa Malaysia Berhad bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengesahkan bahawa insiden akses tanpa kebenaran dan aktiviti dagangan tidak sah yang berlaku pada 24 April 2025 telah berjaya dikenal pasti dan dikawal.
Menurut kenyataan Bursa Malaysia, insiden ini hanya melibatkan akaun dagangan dalam talian pelanggan di beberapa broker tertentu sahaja. Pihak berkuasa kini telah mengambil langkah segera untuk mengelakkan kejadian serupa berulang.
Untuk keadilan kepada semua pihak, Bursa Malaysia dan SC telah bekerjasama rapat dengan industri untuk menyelesaikan kesan dagangan tidak sah ini secara adil dan telus.
Sebagai tindakan segera, Bursa Malaysia telah mengarahkan broker-broker yang terlibat supaya menahan sekuriti dan hasil jualan berkaitan selama 14 hari, atau lebih lama jika perlu, untuk membantu siasatan lanjut.
Insiden Terhad kepada Satu Syarikat Sahaja

Pada petang Khamis, 24 April 2025 yang lalu, saham Bina Puri Holdings Bhd (BPURI) dan waran Bina Puri-Warrant B (BPURI-WB) mengalami turun naik harga yang luar biasa, dipercayai akibat aktiviti dagangan tanpa kebenaran melalui akaun dagangan dalam talian pelanggan.
Pada hari tersebut, saham BPURI mencatatkan kenaikan mendadak sehingga mencapai 40 sen, sebelum ditutup pada 37.5 sen. Namun, keesokan harinya, harga saham merosot sebanyak 43% kepada 21.5 sen, menyebabkan penggantungan jualan singkat intrahari. Menjelang jam 9:23 pagi, saham diniagakan pada 28 sen, turun 25.33%.
Waran BPURI-WB juga menunjukkan aktiviti dagangan luar biasa, dengan harga meningkat dua kali ganda kepada 60 sen sebelum ditutup pada 48.5 sen. Sebanyak 41.17 juta unit waran diniagakan pada hari tersebut.
Setakat ini, dagangan tidak sah tersebut hanya melibatkan saham Bina Puri Holdings Bhd dan waran Bina Puri-Warrant B. Tiada sebarang kes baru dikesan selepas itu.
Dalam masa yang sama, semua broker diingatkan untuk memperketat kawalan dalaman dan sistem keselamatan siber sebagai langkah berjaga-jaga.
Audit Forensik Dilancarkan
Bursa Malaysia turut memaklumkan bahawa audit forensik ke atas pihak berkaitan akan dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya pencerobohan ini.
Walaupun berlaku insiden ini, Bursa Malaysia menegaskan bahawa sistem dagangan dan penyelesaian Bursa Malaysia kekal kukuh dan selamat. Pasaran terus berjalan seperti biasa dengan keadaan yang teratur.