KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) — PEOPLElogy Bhd, penyedia perkhidmatan perundingan dan latihan menyasarkan untuk mengumpul RM26.25 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Ace yang dijadualkan pada 20 Mei, 2025.
IPO syarikat itu melibatkan penerbitan 105 juta saham-saham baharu pada harga terbitan 25 sen sesaham.
Daripada hasil yang diperoleh melalui IPO itu, sejumlah 32.38 peratus diperuntukkan untuk menubuhkan makmal simulasi komputer “cyber range”, 15.24 peratus untuk pelaburan strategik serta aktiviti penggabungan dan pengambilalihan, 11.43 peratus untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) perisian dan 11.05 peratus untuk pengembangan pejabat dan pusat latihan di Indonesia dan Filipina.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Pengarah Urusan PEOPLElogy Allen Lee berkata syarikat itu berhasrat untuk menubuhkan makmal simulasi komputer “cyber range” kerana permintaan terhadap keselamatan siber telah meningkat susulan peningkatan ancaman siber dan kebocoran data di Malaysia.
“PEOPLElogy menyedari permintaan dan keperluan mendesak untuk melengkapkan individu dan organisasi dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan bagi menguasai dunia digital,” katanya pada pelancaran prospektus IPO syarikat itu hari ini.
Syarikat itu turut merancang untuk mengembangkan operasi ke Malaysia Timur, Indonesia dan Filipina bagi merebut peluang pertumbuhan.
“Kami bercita-cita untuk menjadi penyedia penyelesaian pembangunan modal insan terbesar di Asia Tenggara dan membentuk semula cara orang bekerja, belajar dan berkembang pada masa hadapan,” kata Lee.
Beliau mendapati wujudnya potensi dalam segmen digital dan merancang untuk memanfaatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menyokong operasi syarikat.
Permohonan untuk saham IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 6 Mei.
Kenanga Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu.
— BERNAMA