KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Jentayu Sustainables Bhd (JSB) melalui anak syarikatnya yang dimiliki 70 peratus, Oriole Hydro Padas Sdn Bhd (OHP) memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Sabah Electricity Sdn Bhd untuk projek hidroelektrik di Sipitang, Sabah, melibatkan pelaburan sebanyak RM2.8 bilion.
Menurut syarikat tenaga boleh baharu (TBB) itu dalam kenyataan hari ini, projek mercu tanda itu — iaitu pelaburan langsung domestik swasta — mewakili satu daripada inisiatif TBB terbesar di Sabah setakat ini.
“Projek Oriole ini dijangka menyumbang dengan ketara kepada Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Sabah (RAMP 2040), membekalkan sekitar 16 peratus daripada permintaan beban kemuncak Sabah melalui kuasa hidro yang boleh dipercayai dan mampan.
“PPA ini memformalkan penjualan dan pembelian elektrik daripada Project Oriole kepada Sabah Electricity dalam tempoh konsesi selama 40 tahun, secara bina-miliki-operasi-pindah bermula daripada tarikh operasi komersial yang dijadualkan pada 1 Jun 2029,” katanya.
Projek itu dijangka menjana perolehan berulang tahunan kira-kira RM300 juta bagi kumpulan itu selepas beroperasi.
JSB berkata OHP telah menganugerahkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian untuk Project Oriole kepada konsortium yang diterajui oleh XD Power Transmission Sdn Bhd, anak syarikat Xi’an Electric Engineering Co Ltd, bersama-sama PT Anhe Konstruksi Indonesia dan Jawat Johan Sdn Bhd.
“Xi’an Electric adalah antara kontraktor kejuruteraan penghantaran dan pengedaran tenaga terbesar dan mantap di China, dengan operasi antarabangsa yang kukuh merangkumi lebih 40 negara.
“Gabungan kepakaran teknikal yang mendalam konsortium ini dan integrasi kemampuan tempatan melalui rakan kongsi serantaunya merupakan faktor utama dalam pemilihannya,” katanya.
Pengerusi Eksekutif JSB Datuk Beroz Nikmal Mirdin berkata mereka juga sedang meneroka usaha sama dengan pengeluar turbin bertaraf dunia untuk mewujudkan kemudahan pembuatan di Sabah.
“Dengan menyetempatkan pengeluaran dan mewujudkan keupayaan teknologi di peringkat tempatan, kami menyasarkan untuk meningkatkan peranan Sabah dalam rantaian nilai tenaga serantau,” katanya.
Pada 11.20 pagi, saham JSB tidak berubah pada 50 sen dengan 3.93 juta saham bertukar tangan.
— BERNAMA