KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) – Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E), West River Bhd, telah melancarkan prospektusnya bersempena dengan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd yang dijadualkan pada 5 Mei, 2025.
Pengarah Urusan Kumpulan Lim Yong Lai berkata penyenaraian West River akan melibatkan terbitan awam sebanyak 71.54 juta saham-saham baharu (saham terbitan) yang mewakili 20 peratus daripada modal saham diperbesarkan sebanyak 357.70 juta saham, bersama dengan tawaran untuk jualan sebanyak 35.77 juta saham sedia ada (saham tawaran) yang mewakili 10 peratus daripada modal saham diperbesarkan.
“Tiga tahun selepas tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian, kami merancang untuk membina kilang dan memperkukuhkan pengurusan kami.
“Selepas itu mungkin kami akan pergi ke luar negara (mengembangkan perniagaan), tetapi bukan dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya pada sidang media sempena pelancaran prospektus syarikat itu di sini hari ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, West River berkata dengan harga 39 sen sesaham, IPO West River menilaikan permodalan pasaran syarikat sebanyak RM139.50 juta, dengan nisbah harga kepada pendapatan kira-kira 12.19 kali.
Ia berdasarkan pendapatan sesahamnya sebanyak 3.20 sen, selepas dikira berdasarkan keuntungan selepas cukai bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024.
Syarikat itu melaporkan hasil sebanyak RM122.74 juta dan keuntungan selepas cukai RM11.46 juta pada tahun berkenaan.
“Daripada dana sebanyak RM27.90 juta yang diperoleh melalui IPO, sebanyak RM10 juta (35.84 peratus) akan diperuntukkan untuk pengambilalihan tanah dan pembinaan kilang pembuatan merangkap gudang baharu di kawasan Lembah Klang,” katanya.
Syarikat itu berkata kemudahan yang dirancang itu akan meningkatkan kapasiti pembuatan kumpulan untuk panel elektrik dan unit pengagihan bekalan elektrik serta menyediakan ruang penyimpanan yang luas untuk inventori berkaitan projek M&E seperti kabel, wayar dan alat ganti.
West River juga bercadang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunannya sebanyak tiga kali ganda dan meningkatkan kecekapan perolehan dengan pembelian secara pukal dan penyumberan terus daripada pengeluar.
Sementara itu, sebanyak RM5.60 juta (20.07 peratus) diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman, bertujuan memperkukuh struktur modal kumpulan dan menambah baik penggearan.
Syarikat itu juga akan menggunakan RM7.80 juta (27.96 peratus) untuk tujuan modal kerja am.
Baki sebanyak RM4.50 juta (16.13 peratus) akan digunakan untuk menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Ia berkata inisiatif strategik itu mencerminkan komitmen West River untuk mengembangkan operasi dan merebut peluang pasaran baharu dalam sektor perkhidmatan kejuruteraan M&E di Malaysia yang berkembang pesat.
Menurut kumpulan itu, West River Bhd kini menerima permohonan daripada pelabur untuk IPO mereka di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
Tempoh memohon untuk IPO West River bermula hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 17 April, 2025.
— BERNAMA