KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — HHRG Bhd telah mengumumkan penggantungan serta-merta Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Fong Chee Khuen, sementara menunggu hasil siasatan dalaman.
HHRG melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Fong digantung selama dua minggu bermula 7 April 2025.
“Penggantungan itu sebagai langkah berjaga-jaga untuk memudahkan siasatan yang bebas dan menyeluruh terhadap tuduhan salah laku dalam melanggar dasar dan/atau syarat-syarat yang tersirat serta pekerjaan Fong,” kata syarikat itu.
Penggantungan Fong tidak akan memberi kesan kepada kewangan atau operasi syarikat.
“Semasa tempoh penggantungan Fong, Timbalan Pengerusi Eksekutif Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim akan memikul kuasa penuh mengenai hal-hal operasi dan pengurusan syarikat,” katanya.
HHRG akan mengumumkan perkembangan lanjut mengenai perkara itu apabila perlu.
— BERNAMA




