KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Steel Hawk Bhd (Steel Hawk) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd dilantik sebagai panel kontraktor bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk operasi jarak jauh oleh Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Dalam satu kenyataan hari ini, penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas itu berkata pelantikan itu adalah selama lima tahun bermula 28 Feb, 2025 hingga 27 Feb, 2030 dan kerja-kerja distrukturkan berdasarkan panggilan keluar tanpa nilai tetap.
Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Steel Hawk Datuk Sharman K Michael berkata pelantikan itu adalah sejajar dengan tumpuan jangka panjang syarikat itu untuk menyokong industri minyak dan gas tempatan dengan penyelesaian yang praktikal, boleh dipercayai dan berpandangan jauh.
“Industri minyak dan gas semakin mengutamakan automasi dan pelaksanaan digital bagi meningkatkan kecekapan dan meminimumkan tenaga kerja di tapak, seiring dengan aspirasi transformasi digital oleh Petronas.
“Pendekatan operasi jarak jauh sepenuhnya ini dengan ketara mampu mengurangkan risiko bahaya di kemudahan luar pesisir, mempercepatkan garis masa projek dan memupuk amalan mampan,” katanya.
Sharman berkata kontrak itu dijangka memberi sumbangan bermakna kepada perolehan syarikat pada masa depan, menyokong trajektori pertumbuhan Steel Hawk dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran.
— BERNAMA