KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Sektor elektrik dan elektronik (E&E) dijangka berkembang tahun ini, dipacu oleh peningkatan permintaan terhadap komponen elektronik kejituan tinggi, kata Chemlite Innovation Bhd.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutifnya Heng Chee Khiang berkata aspek ini amat jelas dalam industri semikonduktor dan E&E, dengan kemasan permukaan yang berperanan penting dalam meningkatkan ketahanan, kebolehaliran dan rintangan kakisan.
“Bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang, syarikat melabur dalam automasi salutan termaju dan keupayaan bilik bersih untuk meningkatkan kecekapan proses dan mengekalkan standard kualiti yang ketat.
“Dengan trend aliran pasaran yang menggalakkan ini, Chemlight Innovation berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pertumbuhan industri, menggunakan kapasiti operasi kami yang berkembang, teknologi automasi dan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperteguh kehadiran kami di pasaran.
“Selain itu adalah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam penyelesaian bagi rawatan kemasan permukaan bernilai tinggi,” katanya pada sidang media secara maya selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia hari ini.
Ketika awal dagangan, syarikat perkhidmatan sokongan kejuruteraan itu membuat penampilan sulung pada 23 sen di Pasaran ACE, dengan diskaun 2.0 sen, iaitu penurunan lapan peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen, dengan 22.04 juta saham diniagakan.
Mengulas mengenai harga pembukaan, Heng berkata walaupun harga berkenaan tidak memenuhi jangkaan, syarikat percaya beberapa faktor luaran akan menambah baik prestasi pasaran.
“Kami kekal memfokuskan untuk melaksanakan pelan strategi pertumbuhan seperti mengembangkan keupayaan pengeluaran, menguatkan lagi kehadiran kami di pasaran dalam sektor semikonduktor dan E&E serta meningkatkan kecekapan operasi dan menambah nilai jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Chemlite Innovation dalam kenyataan berkata ia berjaya mengumpul RM30 juta menerusi IPO berkenaan dengan RM7.8 juta akan diperuntukkan bagi membeli sebidang tanah perindustrian bagi pembinaan kemudahan operasi tambahan di Penang Science Park North bagi mengembangkan keupayaan operasinya.
Menurut kenyataan itu sebanyak RM7.0 juta akan digunakan untuk mewujudkan dua bilik bersih bagi menyediakan perkhidmatan pembersihan dan pembungkusan bilik bersih untuk menyokong pelanggan yang memerlukan persekitaran bebas pencemaran.
Sementara itu, RM500,000 daripada hasil berkenaan akan digunakan untuk menubuhkan jabatan R&D khusus untuk memacu inovasi dalam perkhidmatan rawatan kemasan permukaan dan RM5.5 juta untuk membayar balik pinjaman bank bagi mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat.
Selain itu, katanya RM4.2 juta untuk modal kerja bagi menyokong pertumbuhan operasi yang berterusan dan RM4.0 juta untuk menampung kos berkaitan proses IPO.
Ketua Pegawai Eksekutif Chemlite Innovation Chong Yuen Fong berkata kapasiti pengeluaran syarikat dibahagikan kepada dua pasaran iaitu penyaduran logam dan bukan logam, dengan pengeluaran masing-masing melebihi kapasiti 80 peratus dan 60 hingga 70 peratus.
“Menerusi kilang baharu (kemudahan operasi di Penang Science Park North) dan penambahan empat saduran pelapisan untuk segmen logam dan bukan logam, kami menjangkakan peningkatan masing-masing sebanyak 75 peratus dan 200 peratus dari segi kapasiti pengeluaran, ” katanya.
— BERNAMA