KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat bas HI Mobility Bhd terlebih langgan sebanyak 6.57 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Syarikat itu melaporkan ia menerima 4,010 pemohon untuk sejumlah 75.74 juta saham terbitan dengan nilai RM92.40 juta bagi 10 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia.
“Bagi bahagian bumiputera, 1,519 permohonan untuk 20.14 juta saham terbitan diterima mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 3.03 kali.
“Bagi bahagian bukan bumiputera, 2,491 pemohon dikemukakan untuk 55.60 juta saham terbitan, menyebabkan kadar lebihan langganan sebanyak 10.12 kali,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut HI Mobility lima juta saham terbitan yang tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak dilanggan sepenuhnya.
“Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 27 Mac 2025,” katanya.
Maybank Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO.
Aktiviti utama HI Mobility iaitu pegangan pelaburan manakala anak syarikat milik penuhnya, Handal Indah terlibat khususnya dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan bas.
Syarikat itu beroperasi dalam sektor transit massa dan terlibat khususnya dalam menyediakan perkhidmatan bas rentas sempadan dan tempatan.
— BERNAMA