KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Samaiden Group Bhd dan Unique Fire Holdings Bhd menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pembangunan loji solar fotovolta (PV) berskala besar di Pasir Mas, Kelantan dan Hilir Perak, Perak.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Samaiden menjelaskan anak syarikat milik penuhnya, Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd, akan membina dan mengendalikan kemudahan penjanaan tenaga solar PV yang akan disambungkan ke rangkaian pengedaran voltan tinggi TNB di tapak projek yang berkaitan berdasarkan program solar berskala besar kelima (LSS5).
Mengikut PPA itu, Samaiden Legasi Timur akan bertanggungjawab terhadap kemudahan penjanaan tenaga solar PV di tapak projek yang berkaitan, dengan kapasiti diluluskan 99.99 megawatt (MW) di Pasir Mas.
“Berdasarkan perjanjian itu, TNB akan membeli output tenaga bersih daripada kemudahan itu sehingga kuantiti maksimum tahunan dibenarkan 257,988.14 MW selama 21 tahun dari tarikh operasi komersial yang dijadualkan pada 11 Okt, 2027,” tambahnya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden Datuk Ir Chow Pui Hee berkata projek itu bukan sahaja merupakan pengembangan ketara bagi portfolio syarikat malah juga aliran perolehan jangka masa panjang yang akan menyokong kemampanan kewangan Samaiden.
“Berasaskan matlamat kerajaan untuk mencapai 70 peratus campuran tenaga boleh baharu menjelang 2050, kami gembira untuk menyumbang kepada visi ini dengan membangunkan satu daripada projek solar berskala besar di bawah program LSS5,” katanya.
Sementara itu, anak syarikat 60 peratus milik tidak langsung Unique Fire, Unique HEB Energy Sdn Bhd dan HEB Energy Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat milik penuh HSS Engineers Bhd, memeterai PPA dengan TNB secara bersama untuk membangunkan sebuah loji solar PV berskala besar 95 MW di Hilir Perak.
Tarikh operasi komersial yang dijadualkan adalah 11 Okt, 2027.
“Obligasi pihak-pihak untuk menjual dan membeli tenaga yang dijana oleh kemudahan itu selama 21 tahun daripada tarikh operasi komersial adalah dikawal selia menerusi PPA itu, mengikut terma dan syarat yang dipersetujui seperti ditetapkan dalam perjanjian tersebut,” jelasnya.
Samaiden dan Unique Fire memaklumkan pihak mereka menjangkakan tiada sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi dan perubahan peraturan yang berkaitan dengan PPA.
“Bagaimanapun, syarikat akan mengambil langkah yang sesuai untuk mengurangkan risiko apabila perkara itu berlaku,” jelasnya.
— BERNAMA
Tengok chart dah reti, tekan ‘buy’ dan ‘sell’ pun tahu tapi…saham yang kita pilih itu bagus atau tidak?
Kalau nak jadi pelabur dan pedagang yang bijak memilih saham berkualiti tinggi, mestilah kena pandai kuasai teknik Analisis Fundamental dan Analisis Teknikal.
Pernah dengar formula CANSLIM? Ala…formula popular yang pelabur serata dunia gunapakai. Formula best ini dicipta oleh pelabur tersohor dunia iaitu William J. O’Neil.
Dengan menggunakan CANSLIM, secara tidak langsung kita telah pun membuat 2 jenis analisis tadi. Pelabur boleh menilai sendiri sama ada saham syarikat itu sesuai untuk dibeli atau boleh diabaikan.
Miliki e-book CANSLIM -> TheKapital.my/Ebook-CANSLIM
