KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) — Pantech Global Bhd sedang mempercepatkan pengembangan antarabangsanya, menyasarkan pasaran pertumbuhan tinggi di Afrika Utara dan Amerika Selatan selepas disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini.
Pengarah Urusan kumpulannya Adrian Tan berkata walaupun syarikat itu sudah mempunyai kehadiran di Ecuador, Peru dan Colombia, ia melihat potensi yang belum diteroka di rantau ini, justeru ia merancang untuk menjalankan operasinya di Brazil lewat tahun ini untuk menarik pelanggan dari Argentina, Chile dan lain-lain negara.
“Wilayah kedua untuk langkah pengembangan ialah Timur Tengah. Kami tidak begitu kukuh dalam pasaran ini kerana pada masa lalu kami mempunyai ejen eksklusif yang meniru jenama kami secara meluas. Walaupun perkongsian itu bertujuan untuk melengkapkan perniagaan kami, mereka akhirnya meniru jenama Pantech Global.
“Ini bukan caranya kami mahu perniagaan berkembang. Akibatnya, kami telah menghentikan perkongsian itu dan melantik ejen baharu untuk memasarkan produk kami di rantau tersebut. Selain itu, kami merancang untuk beroperasi di Mesir untuk mengukuhkan kehadiran kami di pasaran Afrika Utara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian Pantech Global Bhd hari ini.
Pada jam 5.01 petang, saham Pantech Global, penampilan sulung di Pasaran Utama dibuka pada 46.5 sen sesaham, ditutup pada 57.5 sen, mencerminkan diskaun 10.5 sen daripada harga tawaran awam permulaannya sebanyak 68 sen dengan 86.06 juta saham didagangkan, ia merupakan saham yang paling aktif didagangkan hari ini.
Tan berkata syarikat itu sedang mengembangkan bahagian pasarannya di Kesatuan Eropah (EU).
“Ketika ini kami membuat jualan di sekitar enam atau tujuh negara, bagaimanapun EU adalah luas dengan banyak pasaran untuk diteroka. Kami belum meliputi kesemuanya lagi…Pantech Global sedang berkembang secara beransur-ansur.
“Saya boleh mengesahkan bahawa tahun ini, di Eropah, Pantech Global telah meningkatkan bahagian pasaran kepada hampir 20 peratus,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai diskaun pertamanya, Tan mengaitkan harga diskaun disebabkan keadaan pasaran global khususnya di Amerika Syarikat (AS), bagaimanapun beliau menekankan bahawa asas syarikat kekal kukuh dan ia akan terus memfokuskan kepada keuntungan untuk menunjukkan daya tahan kepada pelabur.
“AS telah memperkenalkan banyak dasar baharu dan semua orang perlu menyesuaikan diri. Jadi, kami akan mengikut perkembangan berkenaan kerana perniagaan kami berasaskan eksport.
“Kira-kira 40 peratus daripada perniagaan kami berada di AS tetapi saya tidak menjangkakan sebarang isu pada masa ini kerana kami masih boleh menjual apa yang kami hasilkan dengan syarat tarif yang dikenakan terpakai (dikenakan) kepada semua orang,” katanya.
— BERNAMA