Permulaan Lemah Untuk Tahun Ini
Saham Pilihan Utama & Harga Sasar
- Sime Darby ($SIME) – BELI RM3.05
- Bermaz Auto ($BAUTO) – BELI RM2.30
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) sebanyak 48,867 unit (-40% MoM, -27% YoY) pada bulan Januari. Perolehan TIV lebih rendah ini memang dijangkakan susulan catatan asas tinggi pada bulan Disember yang merekodkan TIV bulanan tertinggi. Kami terus menjangkakan TIV 2025F akan merendah kepada 730 ribu disebabkan oleh kekurangan faktor-faktor pemangkin yang boleh meningkatkan jualan kepada paras tertinggi baharu. Saranan NEUTRAL dikekalkan terhadap sektor ini.

- Permulaan lemah untuk tahun ini
TIV Januari mencecah 48,867 (-40% MoM, -27% YoY). Penurunan mendadak secara MoM ini berpunca daripada kelemahan jualan dalam jenama-jenama kereta pasaran umum bukan kebangsaan melibatkan:
- Honda (-64% MoM)
- Toyota (-58% MoM)
- Serta pengeluar kereta kebangsaan iaitu Perodua (-31% MoM)
- Proton (-28% MoM)
Kejatuhan MoM ini memang dijangka berlaku akibat jualan bulan Januari yang selalunya lemah berikutan tempoh bulan bekerja yang lebih singkat.
- Jumlah pengeluaran industri (TPV) susut
Jumlah pengeluaran industri (TPV) untuk bulan Januari susut 26% YoY dan 11% MoM. Penurunan secara MoM ini dilihat berlaku merentasi jenama-jenama kereta utama iaitu Toyota (-25%), Perodua (-22%), Honda (-17%) dan Proton (-2%). Proton menyasar untuk melancarkan sekurang-kurangnya tiga jenis model baharu pada tahun 2025 yang mungkin membabitkan kereta Saga versi dipertingkatkan dan satu lagi model kenderaan elektrik (EV). Baru-baru ini, Proton mula membangunkan loji EV miliknya di Tanjung Malim dan loji ini dijadualkan siap dibina pada akhir tahun
Dengan pelaburan menelan kos sebanyak RM82j, fasa pertama loji ini akan mempunyai keupayaan pengeluaran mencecah 20,000 unit setahun. Malahan, loji ini
akan menempatkan bahagian pemasangan untuk barisan EV-nya iaitu siri model e.MAS termasuk e.MAS7 yang dilancarkan baru-baru ini.
- TIV 2025F
Kami tetap pada angka 730 ribu yang bermakna penurunan 11% YoY menyamai rekod lemah TIV semasa bulan Januari memandangkan kesan asas tinggi
mula dirasai. Pada masa yang sama, kami mendapati tiada sebarang faktor pendorong untuk membantu jualan automotif 2025 terus kekal berada pada paras tinggi sekarang. Malahan, kami terus berhati-hati dengan prospek kami kerana persaingan harga yang berlaku dalam segmen kereta bukan kebangsaan dan tunggakan pesanan yang semakin mereda. Sebagai makluman, tunggakan pesanan kereta Perodua sudah susut kepada 68 ribu unit sekarang daripada 90 ribu unit pada November tahun lalu, manakala pesanan tertunggak Toyota kekal pada 16 ribu unit.

- Saranan NEUTRAL kekal
Kami menjangkakan 1Q akan mencatat TIV lebih lemah YoY berikutan tunggakan pesanan yang menurun memandangkan catatan TIV yang memecah rekod tahun lalu. Disebabkan oleh prospek kitaran kami yang menurun terhadap sektor ini, kami mengekalkan saranan NEUTRAL sektor ini berdasarkan kekurangan faktor pemangkin yang boleh mendorong jualan dan perolehan ke tahap tertinggi yang baharu.

- Saham Pilihan Utama
- $BAUTO menawarkan nilai saham menarik dan pulangan kadar hasil dividen lumayan,
- $SIME berkedudukan baik untuk menghadapi pelaksanaan dasar pewajaran subsidi minyak RON95 menerusi penawaran barisan EV-nya yang pelbagai, selain pegangan sahamnya dalam Perodua melindungi perolehan ketika persaingan rancak berlaku dalam kalangan syarikat pengeluar kereta bukan kebangsaan.
- Risiko negatif
Tempahan dan penghantaran kereta lebih lemah daripada jangkaan, dan isu rantaian bekalan kembali muncul. Kejadian sebaliknya melambangkan risiko positif.
Penganalisis
Syahril Hanafiah +603 2302 8131 ([email protected])
Baca laporan analisis penuh: Automotif & Komponen Automotif : Permulaan Lemah Untuk Tahun Ini (28 Feb 2025)
Laporan Sebelumnya: Automotif & Komponen Automotif : 2024: Tahun Pecah Rekod (28 Jan 2025)
Pautan kepada laporan bahasa Inggeris: Auto & Autoparts : Weak Start to The Year (28 Feb 2025)
*Nota: Laporan terjemahan Bahasa Malaysia ini merupakan versi ringkas bagi laporan asal dalam bahasa Inggeris dan diguna pakai untuk menyampaikan maklumat sahaja. Penerima dinasihatkan untuk merujuk laporan asal dalam bahasa Inggeris untuk butiran lanjut, dan untuk penafian penyelidikan dan pendedahan rasmi. Walaupun laporan terjemahan Bahasa Malaysia disediakan, laporan asal dalam bahasa Inggeris hendaklah diberi keutamaan sekiranya berlaku sebarang persoalan tentang pentafsiran, percanggahan ataupun dalam hal yang lain.

Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.