Prestasi Tahunan Cemerlang Atasi Jangkaan
- Saranan BELI dikekalkan
- Harga sasar (TP) baharu RM1.65 daripada RM1.55
- Harga saham berpotensi menaik 38%

Profil Syarikat
Johor Plantations Group ialah sebuah syarikat perladangan minyak sawit huluan yang beroperasi khususnya di Johor, Malaysia. Tumpuan utamanya adalah pada penanaman minyak sawit, dan juga mengeluarkan tandan buah segar (FFB).
Perolehan FY24 & teras 4Q24
Perolehan FY24 yang dicatatkan Johor Plantations Group mengatasi anggaran kami dan konsensus. Menuju ke hadapan, kami menjangkakan perolehan akan kekal kukuh disebabkan oleh harga jualan purata (ASP) lebih tinggi dan kos unit yang lebih terkawal. JPG masih diniagakan pada P/E FY25F 11x yang menarik, iaitu pada paras pertengahan julat pesaing antara 8-16x.
Perolehan teras 4Q24 JPG melonjak naik 22% QoQ (+31% YoY), lalu untung teras FY24 mencapai RM265.4j (+59% YoY). Angka ini melepasi ramalan kami dan
konsensus dengan merangkumi 109% dan 107% daripada anggaran FY24. Punca utama penyimpangan positif ini ialah kos lebih rendah daripada jangkaan (-11% YoY berbanding jangkaan kami -8%). JPG mengumumkan dividen sesaham (DPS) 2.75 sen, yang membawa DPS FY24 kepada 5.25 sen (bermakna nisbah bayaran 51% dan kadar dividen bersih 4.4%).

Keluaran tandan buah segar (FFB)
Keluaran tandan buah segar (FFB) 4Q24 susut 16% QoQ (-13% YoY), maka pertumbuhan FY24 mencecah 9.3% YoY. Perkara ini berada bawah ramalan pertumbuhan kami dan bayangan pihak pengurusan sebanyak 11-12% YoY, akibat masalah cuaca yang dialami pada 4Q24 (cahaya matahari tidak mencukupi). Keadaan ini berterusan pada Jan 2025 apabila keluaran FFB jatuh 6% YoY. Menurut pihak pengurusan, walaupun tahap pengeluaran meningkat pada bulan Februari (pertumbuhan positif MoM), keluaran 1Q25 tetap akan lebih rendah YoY. Kenaikan lebih tinggi dijangkakan mulai Mei. JPG memberi bayangan pertumbuhan keluaran FFB sekitar 5% untuk FY25. Oleh demikian itu, kami bertindak merendahkan anggaran pertumbuhan FFB kami kepada 5-6% daripada 7-8% untuk FY25-26F.
JPG mencapai ASP minyak sawit mentah (CPO) bernilai MYR4,826/tan pada 4Q24 (+16% QoQ, +26% YoY), lantas membawa ASP FY24 kepada MYR4,331/tan (+3.6%) lebih tinggi daripada harga Lembaga Minyak Sawit (MPOB). Seperti biasa, JPG belum menjual keluarannya ke hadapan, tetapi ia berjaya menetapkan harga lebih tinggi berbanding harga MPOB untuk 60-70% keluarannya pada 2025, pada lingkungan antara MYR130-200/tan. Ramalan premium ASP CPO kami dikekalkan pada 3% bagi FY25-27.
JPG merekodkan kos unit lebih mahal +19% QoQ kepada MYR2,253/tan pada 4Q24, lalu membawa kos FY24 kepada RM2,085/tan (-11% YoY). Kumpulan ini
telah menggunakan sepenuhnya keperluan baja untuk FY24 dan telah menender keperluan FY25 pada harga 5% lebih murah YoY. Sungguhpun begitu, pihak pengurusan menjangkakan kos buruh akan menaik sedikit disebabkan oleh kenaikan gaji minimum (impak berjumlah kira-kira RM2j setahun) dan caruman KWSP 2% untuk pekerja asing (impak kira-kira RM1.5j setahun). Kami rendahkan andaian kos unit CPO kerana kos baja semakin menurun sebanyak kira-kira 2% untuk FY25-26F.
Secara keseluruhannya, kami menyemak naik perolehan sebanyak 5% dan 7% untuk FY25-26F selepas membuat penyelarasan susulan andaian pertumbuhan FFB dan kos unit lebih rendah. Perolehan FY27F diperkenalkan dengan harga CPO MPOB sebanyak RM4,100/tan.
Saranan BELI dikekalkan dengan TP RM1.65 diperoleh berdasarkan P/E 2025F 14x, dan premium ESG 4% diambil kira kerana catatan markah ESG-nya sebanyak 3.2. JPG diniagakan pada P/E FY25F 11x yang mencecah paras pertengahan dalam julat 8-16x yang direkodkan syarikat pesaing.
Faktor pemacu utama
- i. Kenaikan harga CPO;
- ii. Hasil pengeluaran FFB lebih tinggi;
- iii. Permintaan lebih tinggi untuk minyak sawit lestari.
Risiko utama
- i. Pergerakan tidak menentu harga CPO;
- ii. Risiko cuaca;
- iii. Kesan negatif akibat perubahan dinamik permintaan dan bekalan dalam industri minyak sayuran dunia
Penganalisis
Hoe Lee Leng +603 2302 8110 ([email protected])
Baca laporan analisis penuh: Johor Plantations Group: Prestasi Tahunan Cemerlang Atasi Jangkaan; Kekal BELI (18 Feb 2025)
Laporan Sebelumnya: Johor Plantations Group : Penilaian Menarik Dan Merupakan Syarikat Perladangan Tulen; Kekal BELI (14 Nov 2024)
Pautan kepada laporan bahasa Inggeris: Johor Plantations Group: Stellar Beat To The Year; Keep BUY (18 Feb 2025)

Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.