KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) — Unit Southern Cable Group Bhd, Southern Cable Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM403.6 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi membekal kabel dan konduktor bawah tanah selama setahun bermula Februari 2025.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata kontrak tersebut menawarkan potensi peningkatan yang ketara untuk Southern Cable.
TNB mempunyai pilihan untuk melanjutkan perjanjian tersebut selama satu tahun lagi dengan pesanan tambahan berdasarkan nilai kontrak asal, katanya.
“Selain itu, TNB boleh memilih untuk melanjutkan pesanan tambahan sehingga 30 peratus daripada nilai kontrak asal, seterusnya meningkatkan potensi hasil daripada perjanjian ini,” katanya.
Southern Cable berkata ia meraih kontrak secara konsisten dengan TNB melalui perjanjian terkini bagi tempoh 2022-2024 yang berjumlah kira-kira RM850 juta.
Pengarah Urusan Tung Eng Hai berkata kontrak daripada TNB itu menunjukkan keyakinan berterusan terhadap kemampuan Southern Cable untuk membekalkan produk berkualiti tinggi bagi infrastruktur tenaga penting Malaysia.
“Pada masa depan, kami yakin meraih prestasi yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, disokong oleh pesanan yang teguh daripada aktiviti pembangunan Malaysia,” katanya.
— BERNAMA