KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Able Global Bhd mengumumkan bahawa Pengarah Eksekutif dan Pengerusi Eksekutifnya Ng Keng Hoe telah direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengeluar tenusu dan pembuat tin itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan bahawa siasatan yang dijalankan adalah berkaitan dengan syarikat persendirian Ng dan tidak mempunyai hubung kait dengan Able Global atau syarikat-syarikat kumpulan itu pada masa ini.
Bagaimanapun, sebagai langkah sementara, lembaga pengarah dan pengurusan kanan utama syarikat secara kolektif akan mengambil alih fungsi pentadbiran dan eksekutif Ng yang digantung untuk memastikan tadbir urus yang berkesan dan kesinambungan dalam kepimpinan.
“Selain itu, sebuah jawatankuasa pengurusan sementara yang terdiri daripada pengurusan kanan utama dan wakil lembaga pengarah telah ditubuhkan untuk menyelia fungsi eksekutif Ng dan menyokong operasi syarikat secara berterusan,” katanya.
Jualan singkat harian bagi saham Able Global telah digantung sepanjang hari selepas harga terakhirnya turun lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan hari ini.
Saham syarikat itu turun 34 sen, atau 19.77 peratus kepada RM1.38 sebelum kejatuhannya kembali berkurangan untuk ditutup kepada RM1.53 dengan 20.97 juta saham diniagakan.
Semalam, saham Able Global ditutup pada RM1.72.
— BERNAMA